Fitnah!!!….Tiada Arahan Parti Jemput Dap Hadir Program

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Tiada sebarang arahan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta supaya pimpinan UMNO untuk turut menjemput wakil Dap dalam setiap program anjuran parti itu kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Beliau berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memecahkan perpaduan di dalam UMNO.

“Ini semua fitnah. Saya tidak mengetahui kewujudan Whatsapp group tersebut. Jika betul ada, ia bukan Whatsapp group rasmi MT UMNO. Mungkin sengaja dibuat untuk fitnah parti,” katanya.

Baru-baru ini tular kononnya wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi UMNO.

Perbualan itu merujuk kepada langkah Noraini menjemput Ahli Parlimen Bangi daripada Dap, Ong Kian Ming dalam satu program lawatannya pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Noraini menjelaskan beliau bertembung dengan Kian Ming ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana ahli Parlimen Dap itu turut berada di situ.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong.

“Sebelum beredar, Ong tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.

“Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah Parlimen dia. Itu sahaja. Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden UMNO itu fitnah,” tegasnya.

Rabu lalu, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar telah menziarah Azura Omar, seorang pelajar PhD di UKM yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Turut bersama dalam lawatan tersebut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.