Pemuda UMNO Gesa Segera Tubuh RCI Siasat Pendedahan Bekas Peguam Negara & Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap pendedahan Tan Sri Tommy Thomas iaitu bekas Peguam Negara dan Tan Sri Abdul Hamid Bador iaitu bekas Ketua Polis Negara mengenai campur tangan politik negara.

Menerusi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini telah memutuskan beberapa perkara penting seperti berikut:

1. Pemuda UMNO Malaysia mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap pendedahan Tan Sri Tommy Thomas Bekas Peguam Negara dan Tan Sri Abdul Hamid Bador Bekas Ketua Polis Negara yang amat serius mengenai campur tangan politik dan rasuah dalam institusi-institusi yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara!

2. Tujuh asas utama mewajarkan penubuhan RCI ini termasuklah:

(1) Penyalahgunaan Kuasa dalam isu Perlantikan Hakim dan posisi-posisi penting dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM);

(2) Kebebasan Badan Kehakiman dan Institusi Memelihara Keselamatan Negara khususnya PDRM;

(3) Campur Tangan Badan Eksekutif dan Politik Melampau dalam Badan Pengadilan dan Institusi PDRM;

(4) Pendakwaan Terpilih dan Bersifat Politik;

(5) Amalan Rasuah dalam Budaya Lompat Parti; dan

(6) Penghinaan Kepada Institusi Perundangan Negara dan Keselamatan Negara

(7) Memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi yang memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.

3. Pemuda UMNO juga mendesak dan mengesyorkan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar Parlimen dapat kembali bersidang selaras dengan Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

4. Pemuda UMNO telah menggariskan tiga sebab utama Parlimen perlu dibuka dengan kadar segera:

i) Sistem Demokrasi Berparlimen dalam pemerintahan negara (Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif) tidak lagi berfungsi sebaiknya, khususnya tiang Eksekutif yang kini membuat keputusan tanpa mandat Parlimen.

ii) Akta kewangan kini digantung dan Kerajaan bebas berbelanja tanpa kelulusan dan keputusan Parlimen. Lebih RM600 bilion dibelanjakan dan RM75 bilion pinjaman dilakukan dalam tempoh 4 bulan. Tanpa Parlimen, dikhuatiri berlakunya ketirisan dan salah guna kuasa oleh pihak berkepentingan.

iii) Apabila Parlimen sebagai simbol demokrasi dan kestabilan tidak ditonjolkan, ia secara tidak langsung diterjemah kepada ketidakyakinan pelabur untuk membuat pelaburan di dalam negara. Tiada lagi tadbir urus yang baik, khususnya dari segi semak dan imbang segala keputusan Kerajaan.

5. Pemuda UMNO juga menegaskan supaya tiada lagi aspek penguatkuasaan SOP dan pematuhan undang-undang yang berkaitan pencegahan Covid-19 berasaskan darjat dan kedudukan. Suara rakyat yang marah dan kecewa akibat wujud dwi-standard dalam penguatkuasaan SOP mestilah diambil serius oleh semua pihak agar usaha membendung pandemik Covid-19 ini berjaya dan benar-benar berkesan! – UMNO Online