UMNO Serius Perkukuhkan Muafakat Nasional, Pertahankan Gagasan Yang Tulen – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklum pelbagai persoalan ditimbulkan ramai pihak berhubung status Muafakat Nasional seusai Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Ujarnya, memandangkan Muafakat Nasional melibatkan rakan politik lain, maka tidak wajar bagi beliau menulis lebih daripada apa yang telah dinyatakannya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini tempoh hari.

“Cuma apa saya boleh sentuh sedikit secara terbuka di sini adalah UMNO serius dalam memperkukuhkan Muafakat Nasional yang ditubuhkan pada 2019.

“Jika kita toleh sejenak ke belakang kita tidak akan terlupa betapa bukan mudah menyatukan ummah di bawah gagasan Muafakat Nasional ketika itu.

“Namun syukur allhamdulillah pemeteraian Piagam Muafakat Nasional yang tulen berlangsung di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC – WTCKL) pada 14 September 2019,” tulisnya dalam satu entri di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai kejayaan dilakar Muafakat Nasional sejak itu.

“Kemenangan banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) dan bersama memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Momentum keyakinan rakyat pelbagai bangsa dan agama sangat positif terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh Muafakat Nasional yang sebenar.

“Mereka percaya kepada Muafakat Nasional yang itu, bukan yang ini. Kerana sinergi yang terbentuk antara UMNO dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berharap rakan politik UMNO dalam Muafakat Nasional berfikirlah sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’,” katanya.

Dalam statusnya itu, Ahmad Zahid turut melampirkan satu pautan berita; (https://www.google.com.my/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/21829) di mana pada 5 April 2019 melaporkan Timbalan Presiden parti rakan UMNO dalam Muafakat Nasional berkata muafakat kedua-dua parti itu boleh memberikan kemenangan kepada gabungan itu dengan lebih 132 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.