UMNO Sabah Dukung Teguh Perjuangan Parti, Hormati Institusi Presiden

KUALA LUMPUR, 29 Mac – UMNO Sabah akan sentiasa berpegang teguh dengan prinsipnya iaitu perjuangan parti harus diutamakan.

Demikian tegas Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang yakin bahawa atas nama perjuangan maka sokongan terhadap UMNO mesti terus diperkukuh.

Dalam perbahasannya usul Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020, beliau mengimbas bagaimana UMNO Sabah bangkit kembali.

“Ketika ramai yang meninggalkan parti UMNO pada masa itu, UMNO Sabah dilihat tiada hala tuju, ketika itu memang betul tiada kawan-kawan malah kita dihina, kita dipanggil dengan berbagai-bagai nama yang tidak baik .

“Perompak, penyamun, pencuri, penghancur masa depan negara di Sabah. Warisan pun begitu. Semuanya tidak ada… betul-betul ‘udang tidak ada mata’ dan tidak tahu mahu ke mana, ke depan tidak pergi, undur tidak boleh, tapi
kemudian kami pelan-pelan bangkit semula,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah memaklumkan UMNO Sabah akan terus menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan juga Presiden.

“Institusi parti, institusi Presiden akan kami hormati sampai bila-bila masa. Ini jalan diperlukan sebab telah terbukti yang kami sebagai pejuang walaupun tidak ada apa-apa.”

Sehubungan itu, beliau turut menggesa untuk anggota parti bersedia kea rah Pilihan Raya Umum ke-15.

“Selaku Ketua, saya bertanggungjawab untuk membantu seberapa banyak kemenangan calon-calon kerusi Parlimen Sabah bagi memastikan kemenangan PRU-15,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.