Kisah Perayu Undi Berhujan Di Tg Piai, Jangan Sia-siakan Kesetiaan Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengimbau bagaimana semangat juang seorang wanita yang sanggup berhujan ketika merayu undi pada pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai sebelum ini yang menggambarkan semangat juang ahli parti di akar umbi.

Dengan penuh semangat, beliau yang mewakili UMNO Kedah pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2020 seterusnya berkata atas dasar dan semangat itulah UMNO tidak seharusnya berpecah sebaliknya sama-sama memperkukuhkan penyatuan ‘wahdatulfiqh’ dan ‘wahdatulamal’.

“Saya menyeru buktikan pertautan ukhuwah, solidariti semangat UMNO dan parti tidak harus berpecah daripada kepimpinan sehingga ke akar umbi. Kasihan dan sedih mereka yang berjuang.

“Saya melihat di Tanjung Piai… kesian wanita ketika di tengah hujan waktu merayu pada sebelah petang yang berpayung basah makcik tersebut atas semangat UMNO. Entah demam… entah sakit… entah tidak bangun tetapi dia pergi klinik sendiri, cari ubat sendiri melainkan perjuangan semata-mata demi UMNO.

“Anak muda yang berjuang untuk UMNO… mereka tidak duduk di khemah utama…. Mereka tidak duduk bersama kepimpinan melainkan anak muda ini ingin melihat UMNO melakar kejayaan dan kecemerlangan,” katanya.

Katanya lagi bagaimana rakyat akan memberikan sokongan seandainya ‘rumahtangga’ porak poranda dan kacau bilau.

“Jangan harap orang akan sokong dan akan bersama dengan kita kalau rumahtangga kita porak poranda. UMNO tidak lagi boleh berpecah belah… UMNO tidak lagi boleh berkelompok dan menubuhkan kumpulan masing-masing. Tidak boleh… Presiden telah meletakkan hala tujunya. Kita perkukuhkan ukhuwah solidariti UMNO dan selebihnya kita serahkan kepada Allah swt.

“Marilah kita menginsafi perjuangan UMNO ini tidak ada tolak bandingnya… perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, maka kita akan kembali ke kampung halaman dan bawalah semangat, ukhuwah tautan persaudaraan Islam yang kita bina dan sampaikan berita bahawa UMNO akan kembali berada di persada kemenangan… insya-Allah,” tambahnya.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir pula berkata perjuangan dan semangat ahli UMNO tidak boleh dibekukan dan mereka yang berpandangan UMNO lemah adalah tersasar sama sekali.

Menurut beliau UMNO bukanlah sedemikian rupa malah UMNO bangkit semula dalam perjuangan untuk membela rakyat.

“Mereka yang mengatakan UMNO lemah termasuklah daripada kalangan UMNO sendiri adalah mereka yang mementingkan diri sendiri sebenarnya. Inilah mereka-mereka yang tidak menghargai perjuangan UMNO. Jangan ada dusta antara kita. Jangan kita cakap lain dan buat lain,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mencadangkan agar presiden diberi mandat untuk menarik sokongan kepada Perikatan Nasional jika darurat masih lagi mahu dikekalkan selepas Ogos nanti.

“Bulan 8 ini kalau darurat masih lagi mahu dikekalkan saya minta para perwakilan beri mandat kepada presiden. Sekiranya darurat masih lagi nak dikekalkan selepas bulan 8, kita serahkan mandat kepada presiden tarik kembali sokongan kita kepada Perikatan Nasional,” ujarnya. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit