Dr Masliha Lontar Empat Soalan Berkaitan Kerjasama Politik UMNO Dengan PPBM

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Wakil Puteri UMNO, Dr Masliha Harun melontarkan empat soalan berkaitan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang telah diambil keputusannya berkaitan kerjasama oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini.

Menurut beliau Puteri UMNO menyokong penuh keputusan yang diambil sebelum ini iaitu tidak akan bersama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang dan hanya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga parlimen dibubarkan.

“Soalan pertama saya adakah dengan bersama PPBM UMNO akan bertambah kuat atau semakin dilemahkan. Sedar atau tidak dalam keadaan sekarang pun tiada istilah menang-menang ataupun gembira-gembira dalam berpakat. Jadi haruskah keadan ini berlarutan lagi selepas pilihan raya umum akan datang.

“Keduanya adakah semua ahli UMNO bersedia untuk memberi undi dan melupakan noda pengkhianat-pengkhianat yang telah mencurangi pengundi dan parti kita ketika kita kalah. Sesungguhnya pengkhinatan itu benar dan ianya sangat menyakitkan. Mungkin ada yang berkata inilah seni politik, tapi tidak bagi kami orang muda dan suara akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan menyokong usul ucapan dasar Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu semalam.

Soalan seterusnya tambah beliau, adakah UMNO mahu terpalit ataupun menambah beban pada pilihan raya umum akan datang dengan isu-isu yang kita perjuangkan selama 22 bulan seperti janji palsu dan sebagainya lagi.

“Soalan terakhir saya adakah satu kepastian dimana mereka yang terdiri daripada kumpulan pengkhianat dan pelompat-pelompat parti ini tidak akan terus melompat selepas pilihan raya umum akan datang.

“Adakah kita mahu keadaan seperti sekarang akan berulang dimana tiada kestabilan politik… tiada ketentuan… tiada noktah yang pasti dan semuanya bagai telur-telur dihujung tanduk,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.