UMNO Tak Jumud Bekerjasama Dengan Parti Lain, MN Bukti Kesatuan – Saarani

KUALA LUMPUR, 28 Mac – UMNO tidak jumud untuk menutup pintu kerjasama dengan sesiapa pun, tegas Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, selaku pencadang dalam usul ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Jelas beliau, UMNO juga tidak rakus dengan pengaruh dan kekuasaan walaupun berpengalaman merasai nikmat berada di persada kuasa.

“Semuanya membawa ibrah yang mematang dan mendewasakan. UMNO boleh bekerjasama tetapi tidak akan sesekali berdiam atau mengalah dalam mempertahankan citra perjuangannya.

“Lantas, ada yang bertanya, kalau boleh berpadu dengan PAS, kenapa tidak dengan Bersatu?

“Dalam hal ini, ingin saya tegaskan bahawa jangan ada yang mahu mempersoalkan kesetiaan UMNO terhadap Muafakat Nasional (MN) bersama PAS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam PAU 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut Menteri Besar Perak itu berkata lagi, kerjasama yang terjalin dengan PAS adalah ketika keduanya menjadi pembangkang semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Katanya, walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan sepanjang menjadi pembangkang, namun MN tetap teguh bermuafakat.

“Ingatlah bahawa piagam ini tidak dibentuk untuk mengekalkan kuasa politik. Ia dibentuk ketika UMNO dan Pas tidak punya apa-apa.

“Pendek kata, keduanya saling menguatkan, bukan melemahkan. Hubungan ini tidak dibayangi kesangsian, kerana muafakat yang terbina itu dipaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.