UMNO Perlu Kekalkan Prestasi Terbaik Tawan Hati Rakyat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyedari bahawa antara resepi kejayaan sesebuah organisasi politik ialah dengan memberikan keutamaan kepada rakyat

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana setiap tindak tanduk dan prestasi sentiasa dinilai oleh rakyat.

“Sebab itulah, kami sentiasa berusaha memastikan, setiap kelompok rakyat sentiasa didampingi, serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Ini termasuklah, melibatkan masyarakat di bandar, di desa, petani, nelayan, peniaga, Orang Asli, masyarakat Felda, anak muda, kakitangan kerajaan, golongan wanita sehinggalah kepada imam dan bilal.

“Pendek kata, kami akan terus menjadi pembela dan jurubicara rakyat di negeri Pahang,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan usul menyokong ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, negeri ini sentiasa terkehadapan terutama ketika rakyatnya menghadapi kesusahan, termasuklah ketika wabak pandemik COVID-19 dan juga banjir besar baru-baru ini.

“Kami juga memperkenalkan pelbagai dasar, bagi membantu rakyat yang susah seperti pemberian rumah percuma, melalui inisiatif Rumah Rakyat Pahang.

“Tahun lalu, sebanyak 100 buah dibina, dan disumbangkan, dan tahun ini, sebanyak 100 buah lagi sedang dibina dan diberikan percuma kepada yang memerlukan,” katanya. –  UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.