‘Sang Saka Bangsa’ Berkibar Megah, Norma Baharu Tak Jejas Perasmian PAU 2020

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Berkibar megahnya bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pagi ini adalah tanda bermulanya persidangan terbesar bangsa Melayu.

Upacara menaikkan ‘Sang Saka Bangsa’ itu dimulakan dengan menaikkan bendera diiringi lagu Wanita UMNO, seterusnya Pergerakan Pemuda UMNO dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing.

Wanita UMNO disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki manakala Datuk Zahida Zarik Khan bagi Pergerakan Puteri UMNO.

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan ‘Sang Saka Bangsa’ dinaikkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dikibarkan, yang turut diiringi Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hadir sama menyaksikan upacara naik bendera adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO.

Ekoran lokasi majlis tertakluk di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, jelas kelihatan semua hadirin yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang majlis berlangsung antaranya seperti pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal.

Sedikit kelainan juga pada kali ini apabila tiada sesi pemeriksaan perbarisan oleh presiden sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Selesai acara yang penuh simbolik  itu, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Dewan Merdeka.

Terdahulu anggota MKT mengabadikan momen PAU 2020 ini dalam sesi bergambar yang turut melibatkan anggota Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

PAU 2020 ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Semalam, Sabtu, perhimpunan agung bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO berjaya dilaksanakan persidangannya secara bersemuka serta maya dan perasmian secara serentak disempurnakan oleh Timbalan Presiden parti.

Jelas ternyata walaupun berhadapan dengan suasana norma baharu, ia tetap tidak mematahkan semangat semua pendukung parti menunaikan tanggungjawab bagi memastikan kesempurnaan perjalanan PAU 2020 kali ini yang dilaksanakan dalam masa dua hari sahaja, semalam dan hari ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.