Reset Politik Demi Kestabilan Politik, Bina Semula Negara – Suraya

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Suraya Yaacob berkata reset politik sebagaimana yang diutarakan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid adalah hala tuju parti demi kestabilan politik negara bagi membina semula negara.

Ulas Ketua UMNO Bahagian Pendang itu, langkah tersebut juga memerlukan kerjasama daripada PAS bagi mencapainya.

“Walaubagaimanapun political reset (reset politik) ini memerlukan kerjasama dengan PAS untuk mendukung agar political reset yang ingin kita lakukan bermatlamat dua perkara.

“Pertama, supaya kita dapat menstabilkan politik negara dan demi rakyat supaya rakyat dapat diharmonikan melalui political reset ini. Jadi saya berdoa dan berharap rakyat dapat menerima political reset dan paling penting parti PAS dapat menerima political reset yang dicadangkan oleh Datuk Seri Presiden UMNO,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu kepada tim media Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah berkata demikian merujuk kepada salah satu inti pati Ucapan Dasar Presiden di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ahmad Zahid di dalam ucapan dasarnya berkata Muafakat Nasional yang teguh mampu menjelmakan kekuatan politik untuk semua dan beliau berkeyakinan bahawa Muafakat Nasional merupakan langkah dinamik ke arah reset politik di negara ini.

Begitu juga Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa tindakan reset politik ada kaitan dengan kestabilan dan keharmonian rakyat kerana situasi semasa sekarang jelas ketidakstabilan politik hingga menyebabkan negara terjebak ke kancah kejatuhan ekonomi.

Jelas Suraya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah lagi, reset politik untuk kali ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

“Dan political reset ini bukan sesuatu perkara yang luar biasa yang dilakukan dalam UMNO. Kali pertama political reset yang kita lakukan adalah bila keputusan untuk bersama MCA dan MIC menubuhkan Barisan Nasional (BN).

“Dan political reset kedua apabila penubuhan UMNO di Sabah. Dan ini political reset yang ketiga yang kita ingin kerjasama dengan Muafakat Nasional, bersama dengan PAS dan menjadikan platform Muafakat Nasional itu tumpuan untuk memenangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.