Perkukuh Muafakat Nasional, UMNO Mesti Bersedia Berdepan PRU15 – Nor Hafizah

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Ketua Wanita UMNO Bahagian Tasik Gelugor, Nor Hafizah Othman menegaskan bahawa UMNO perlu memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan bangkit mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihan raya.dengan ketetapan jelas menolak kerjasama dengan PKR dan Dap.

Katanya, perkara ini penting dalam usaha meluruskan jalur politik negara sebagai persediaan menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

“Demi kelangsungan parti, Wanita UMNO mencadangkan beberapa perkara yang perlu diberi penekanan iaitu memperkukuh institusi parti, menghormati kepimpinan tertinggi, meniupkan semangat perpaduan sesama ahli, mengambil berat isu rakyat khususnya perpaduan ummah dan menjuarai isu-isu Melayu dan Islam seperti isu kalimah Allah.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam PAU 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Katanya lagi, Wanita UMNO adalah pendukung yang paling setia bersama kepimpinan tertinggi UMNO tanpa mengira apa jua pergolakan yang berlaku.

“Wanita UMNO telah melalui fasa suka dan duka dengan membantu jentera parti untuk memenangkan calon-calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama 14 kali iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan beberapa kali Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kekalahan pada PRU 14 menjadi sejarah apabila melalui detik sukar selama 22 bulan selepas bertukar tampuk pemerintahan, namun kejatuhan Pakatan Harapan (PH) selepas itu bukan sahaja menjadi rahmat kepada UMNO dan PAS malah seluruh umat Melayu, Bumiputra dan seluruh rakyat di negara ini.”

Ujarnya, wanita UMNO sentiasa istiqamah dan kekal teguh menyokong serta memberikan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Presiden UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk terus menjadi nakhoda bahtera pada masa hadapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.