PAU 2020: Masa Tarik Diri Daripada PN, Perwakilan Serah Kepada MKT

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Perwakilan telah bersetuju untuk memberikan mandat kepada presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukan tarikh penarikan diri parti dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, sekiranya sebarang ketetapan berkenaan penarikan diri tersebut dilakukan beliau berharap situasi itu mendapat kerjasama daripada pemimpin UMNO yang berada di kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Maka kalau dapat difahami bahawa perwakilan telah memberikan mandat kepada presiden dan MKT untuk menentukan bahawa kita boleh menarik diri dari kerajaan PN bila-bila masa.

“Kalau ini menjadi keputusan mereka, saya yakin rakan-rakan terutamanya menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC malah seluruh ahli-ahli Parlimen akan 100 peratus akur dengan keputusan parti ini.

“Ertinya kalau menarik diri dan ini merupakan keputusan parti mereka tidak akan gusar untuk meletakkan jawatan demi mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kesemua pengerusi UMNO Perhubungan Negeri yang turut memberikan pandangan sama berkenaan pengunduran diri dari PN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.