PAU 2020 Labuh Tirai, Adaptasi Warna-warni Norma Baharu

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Perhimpunan Agung 2020 yang dilaksanakan secara sederhana namun meriah telahpun melabuhkan tirainya lewat petang tadi.

Buat pertama kalinya perhimpunan kali ini mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila berlangsung secara semuka dan maya bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Perwakilan yang hadir juga dilihat sudah semakin terbiasa mengadaptasi norma baharu dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memenuhi saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perhimpunan ini menampikan satu pengalaman baharu kerana ianya turut melibatkan penyertaan daripada perwakilan dari 190 UMNO Bahagian-bahagian yang menyaksikan ucapan perbahasan secara langsung dan dipancarkan menggunakan sistem Webex.

Meskipun hanya hadir di bahagian masing-masing namun perwakilan tetap setia mendengar perbahasan daripada jurucakap-jurucakap yang mewakili mereka membahaskan isu-isu semasa berkaitan masa depan parti.

Perhimpunan kali ini menyaksikan ketetapan perwakilan telah bersetuju untuk memberikan mandat kepada presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi menentukan tarikh penarikan diri parti dari kerajaan Perikatan Nasional.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan terima kasih kepada kesemua pengerusi UMNO Perhubungan Negeri yang juga memberikan pandangan sama berkenaan pengunduran diri dari PN. UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.