Meski Laut Jadi Pemisah, Semangat Perjuangan UMNO Tawau Tetap Bersemarak

TAWAU, 28 Mac – UMNO Bahagian Tawau merealitikan kesetiaan kepada UMNO tetap bersemarak biarpun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 hanya dapat diikuti secara maya dengan pancaran melalui webex dari tempat persidangan di Kuala Lumpur.

Bagi perwakilan UMNO Bahagian Tawau, Amran Karim, biarpun tidak dapat berkumpul secara bersemuka namun beliau amat berbesar hati kerana masih juga dapat mengikuti PAU 2020 serta menghayati ucapan dasar dari Presiden UMNO.

“Memang ini adalah satu yang luar biasa, tidak pernah berlaku dan pertama kali kita bersidang secara maya tetapi itu semua bukan alasan untuk melupakan perjuangan UMNO.

“Sebagai ahli UMNO, perhimpunan agung adalah antara yang sentiasa kami tunggu-tunggu kerana dalam persidangan ini kita semua akan faham tentang hala tuju perjuangan kita malah kita akan kembali menghayati asas perjuangan parti ini,” katanya yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tawau.

Untuk kali ini, UMNO Bahagian Tawau bersidang secara maya di pejabat bahagian terbabit, di sini.

Hal ini diaplikasi sebagai langkah melibatkan anggota perwakilan seluruh bahagian UMNO terlibat dalam PAU 2020.

Pelaksanaan norma baharu ini dibuat berikutan negara masih tertakluk dengan sekatan sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19, malah PAU 2020 dipantau ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Lokasi persidangan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) juga masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB yang mewajibkan para perwakilan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang majlis berlangsung antaranya seperti pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.