Laporan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

LAPORAN YB DATUK SERI HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2020
28 MAC 2021 (AHAD) | DEWAN MERDEKA, PWTC, KL
*********************************************

Saudara dan Saudari Pengacara Majlis
“Bismillahir Rahmanir Rohim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”
Tan Sri Datuk Paduka Haji Badruddin Amiruldin,
Pengerusi Tetap UMNO,
Datuk Seri Rizuan Abd Hamid,
Timbalan Pengerusi Tetap UMNO,
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
Presiden UMNO,
Dato’ Seri Utama Mohamad Haji Hasan,
Timbalan Presiden UMNO,
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,
Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid,
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin,
Naib-Naib Presiden UMNO,
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad,
Ketua Wanita,
Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki,
Ketua Pergerakan Pemuda,
Dato’ Zahida Zarikh Khan,
Ketua Pergerakan Puteri,

Dato’ Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor,
Bendahari,
Saudara Shahril Sufian Hamdan,
Ketua Penerangan
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Pengerusi-pengerusi Perhubungan,
Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah,
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO,
Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abd Razak,
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional,
Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong,
Presiden MCA,
Tan Sri S A Vigneswaran,
Presiden MIC,
Datuk Arthur Joseph Kurup,
Timbalan Presiden PBRS,
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS),
Dif-dif Jemputan, Friends Of BN,
Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF);
Presiden Malaysian Indian United Party (MIUP);
Presiden Parti Makkal Sakti (MMSP);
Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM);
Presiden KIMMA, Parti Gabungan UMNO
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO,
Pengerusi Mubarak dan Veteran UMNO,
Mahasiswa Nasional dan Para media massa,

Sidang Perwakilan yang saya hormati,

Perhimpunan Agung 2020 ini telah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dibenarkan oleh pihak Polis. Terima kasih banyak kepada semua yang menjayakannya.

Kali pertama dalam sejarah 75 Tahun UMNO, Tahun Jubli Intan, Perhimpunan Agung diadakan kombinasi secara bersemuka dan secara maya.

Kali pertama dalam sejarah negara kita pada Februari/Mac 2020, pertukaran kerajaan berlaku bukan secara pilihan raya dan Ahli Parlimen UMNO/BN adalah yang paling ramai dalam kerajaan campuran BN, PN, GPS, GRS ini.

Kali pertama seluruh dunia dan negara kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan iaitu COVID-19 dan merbahaya kepada kehidupan.

Kali pertama darurat diisytiharkan di negara ini atas sebab kesihatan. Namun Yang DiPertuan Agong telah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang tetapi sidang Parlimen masih belum juga diadakan.

Kali pertama politik negara ini amat tidak stabil. Kerajaan ini adalah yang paling tidak stabil dalam seluruh dunia. Pimpinannya sentiasa membilang sokongan Ahli Parlimen hampir pada setiap hari khuatir ada mereka yang menarik diri.

Sidang Perwakilan,

Saya ingin melaporkan bahawa walau dalam keadaan sukar begini, keahlian baru UMNO telah bertambah seramai 127,214 orang sejak 9 Mei 2018 hingga 26 Mac 2021.

Sebanyak 3,085 aktiviti sepanjang setahun 2020 telah dianjurkan oleh Wanita di 191 UMNO Bahagian, 3,685 aktiviti oleh Pemuda dan 3,145 aktiviti oleh Puteri. Tahniah diucapkan kepada mereka.

UMNO Prihatin Rakyat, UMNO Bantu Rakyat, UMNO Juara Rakyat adalah tema kita bila Presiden meminta 191 UMNO Bahagian mengadakan ribuan aktiviti ziarah kasih dan memberi lebih 114 ribu bungkusan makanan kepada pihak yang memerlukan ketika COVID-19 dan banjir melanda.

UMNO perlu bersiap untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 tidak kira bila ianya akan diadakan. Biasanya lepas 3 tahun daripada tarikh satu-satu pilihanraya, parti mesti menumpukan perhatian untuk satu lagi pilihanraya. Tarikh 3 tahun ini hanya sebulan sebelas hari sahaja lagi iaitu pada 9 Mei 2021.

Pengerusi Biro Latihan di bawah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Biro Naziran di bawah Dato’ Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Jawatankuasa Manifesto di bawah Dato’ Seri Khaled Nordin dan Pengarah Pilihan Raya, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman, semuanya sudah memulakan tanggungjawab gerak kerja di bawah mereka.
Sidang Perwakilan,

Sukacita saya melaporkan Persidangan peringkat Bahagian tahun 2020 berlangsung secara serentak di seluruh Negara pada 1hb-3hb Januari 2021 yang melibatkan 190 Bahagian dengan 759 mesyuarat Perwakilan diadakan.

Syukur Alhamdulillah, tiada kluster Covid-19 berlaku walau puluhan ribu perwakilan telah hadir dalam 759 mesyuarat itu.

Sokongan dan dokongan ahli UMNO akar umbi adalah kekuatan parti. Sehubungan itu dilaporkan jumlah ahli UMNO terkini ialah seramai 3,359,368 orang sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,883 cawangan di 191 Bahagian.

Ini menjadikan UMNO masih kekal sebagai parti politik yang terbesar dengan bilangan ahli paling ramai di Malaysia.

Daripada segi Negeri, bilangan ahli teramai diterajui oleh:

i. Negeri Sabah – 583,979 ahli, diikuti
ii. Johor – 451,778 ahli dan
iii. Selangor – 421,899 ahli
iv. Kedah – 300,589 ahli

Yang penting, selain ahli mesti ramai, negeri juga kita yang memerintah.

Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah:

i. Lahad Datu, Sabah – 46,570, ahli diikuti
ii. Semporna, Sabah – 40,296 ahli
iii. Libaran, Sabah – 38,131 ahli
iv. Gombak, Selangor – 37,851 ahli
v. Baling, Kedah – 37,512 ahli

Yang penting, bahagian perlu ramai ahli. Terpenting juga di bahagian itu, pemimpin UMNO yang menang menjadi Ahli Parlimen. Kita akan bertanding banyak kerusi, Insya-Allah kita juga akan menang banyak kerusi.

Sementara keahlian cawangan teramai didahului oleh:

i. Kampung Batu Putih Darat, Libaran – 2, 779 ahli diikuti
ii. Kampung Tinosa Jaya, Libaran – 2,368 ahli
iii. Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi – 1,432 ahli
iv. Felda Pemanis (1), Sekijang– 1,307 ahli

Yang penting, cawangan perlu ramai ahli dan elakkan ahli cawangan yang ramai itu melompat ke parti lain. Semua kerusi yang melompat pasti kita akan ambil semula.

Sidang Perwakilan,

Kelab-kelab UMNO di seluruh dunia berjumlah 20 buah iaitu 9 buah di United Kingdom, 2 di Indonesia, 3 di Australia, 4 di New Zealand dan 2 di Mesir. UMNO masih mekar di seantero dunia.

Sementara itu terdapat Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (ringkasnya UMNOSiswa) di 17 IPT di negara ini. UMNOSiswi dilancarkan oleh YB Presiden semalam ketika persidangan Puteri UMNO. Mereka semua adalah bakal-bakal pelapis untuk kepimpinan UMNO pada masa hadapan.

Sepanjang tahun lalu pada 18 Januari 2020, di PRK Parlimen Kimanis kita menang, dengan majoriti 2029 undi. Pada 4 Julai 2020 di PRK DUN Chini, Pekan kita menang, dengan majoriti sebanyak 12,650 undi. Pada 29 Ogos 2020, di PRK DUN Slim, Tanjung Malim kita menang, dengan majoriti sebanyak 10,945 undi.

Di PRN Sabah pula kita menang daripada hanya 1 kerusi DUN meningkat kepada 14 kerusi DUN. Sepatutnya kita boleh menang lagi banyak kerusi di Sabah. Menang PRK dan PRN sangat penting. Namun yang lebih penting ialah UMNO/BN mesti menang besar pada PRU-15.

Kemenangan di PRK dan PRN di bawah nakhoda YB Presiden juga membuktikan Barisan Nasional dan Muafakat Nasional semakin diterima oleh rakyat sebagai satu naungan dan naratif politik baharu. Adalah menjadi cabaran besar kepada BN dan MN untuk mengekalkan momentum kemenangan ini. Dimaklumkan bahawa sebanyak 13 mesyuarat MN Peringkat Pusat telah diadakan pada 2020/2021 dan semua negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pelaksana Muafakat Nasional Peringkat Negeri-negeri.

Sidang Perwakilan,

Ahli dan pimpinan UMNO eloklah aktif di media sosial, untuk memerangi mana-mana berita palsu dan menyebarkan berita yang mempunyai aura positif tentang UMNO. Penerangan BNComms dan PUMAS semakin menyerlah di persada maya.

Kita sebagai ahli UMNO harus bertindak sebagai cyber-troopers yang aktif memandangkan pada PRU-15 ini, penglibatan media sosial akan mengambil tempat utama berbanding media tradisional.

Usaha 16 orang bekas ahli UMNO dengan pihak tertentu di belakang mereka untuk mengharamkan UMNO di mahkamah telah gagal. Syukur Alhamdulillah, parti keramat ini tetap terpelihara.

Kali ini bermula hari ini, mari kita berpadu untuk bersama bagi meneruskan khidmat yg sudah biasa kita lakukan iaitu mendekati rakyat, merasai denyut nadi rakyat bagi membela untung nasib rakyat.

Kali ini bermula hari ini, mari kita berpadu untuk bersama bagi memantapkan asas dan tujuan UMNO dalam perlembagaan yang baru dilulus R.O.S pada Januari 2021, bagi memajukan rakyat di seluruh negara.

Fasal 3 asas dan tujuan dalam Perlembagaan UMNO yang baru dipinda sangatlah mulia dan inklusif yang berbunyi

“UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan orang Asli serta Perpaduan Malaysia demi Kemakmuran dan kestabilan Negara.”

Kita berjuang untuk ABATA, Agama, Bangsa dan Tanah Air. Selepas ini bersama kita mengikuti dan meneliti ucapan Dasar Presiden, yang pastinya menggariskan hala tuju besar haluan perjuangan bagi mendepani cabaran yang mendatang.

Firman Allah dlm surah Muhammad ayat tujuh yg berbunyi, membawa maksud iaitu

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Sidang Perwakilan,

Bak kata satu ungkapan – Jika Pelan A tidak menjadi, jangan kecewa. Ada 25 lagi huruf dalam abjad❗ Pelan B hinggalah Pelan Z.

Korum Perhimpunan hanya perlu ¼ iaitu 25% perwakilan. Atau 667 orang. Tentunya Perhimpunan ini sah dan cukup korum. Itulah sebabnya kita ada perwakilan Pelan A di Dewan Merdeka, Pelan B di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail serta Pelan C di negeri dan Bahagian-bahagian.

Daripada 2668 perwakilan, 1110 iaitu 42 % di PWTC dan 1558 iaitu 58% di bahagian negeri masing-masing.

Akhirnya, dua rangkap pantun berkait ingin saya ungkapkan.

Jadilah Orang, Ingin Berubah,
Tidak Semberono, Berkhidmat Rela,
Kita Berjuang, Dengan Tabah,
Semangat UMNO, Terus Menyala,

Tidak Semberono, Berkhidmat Rela,
Bertekad Panglima, Si Anak Jantan,
Semangat UMNO, Terus Menyala,
Demi Agama, Bangsa dan Watan.

PENUTUP

“Demikianlah laporan saya berkaitan UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO tahun 2020.”

Mari kita laungkan bersama saya:

Hidup …………….. UMNO!
Muafakat …………. Nasional!
Menang ………….. Barisan!
Juara ……………… Rakyat!

Maka dengan hormatnya saya mempersilakan Tan Sri Haji Badruddin bin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat bagi memulakan Persidangan.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/03/UCAPAN-SUA-PAU-2020-latest.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.