Ahmad Zahid Kagum Semangat Akar Umbi, Tunjang Kekuatan UMNO

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kagum serta mengucapkan syabas kepada akar umbi yang tidak pernah goyah walaupun wujud kocakan di bumbung kepimpinan.

Katanya yang mendapat maklumat terdapat pelbagai tawaran jawatan, pembelian pengaruh dan ugutan di peringkat cawangan, namun mereka tetap istiqamah dan teguh berada dalam UMNO.

“Akar tunjang inilah yang memastikan UMNO kukuh sebagai pohon subur untuk memayungi rakyat dan menjadi pengubat rindu UMNO untuk memimpin kerajaan semula. Doa dan harapan ini jangan kita gagalkan.

“Tahniah barisan di peringkat akar umbi hampir kesemua 22,000 cawangan, kesiap-siagaan untuk meredah medan pertempuran bagi memenangkan semula UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti telah pun bergema.

“Mereka telah bersedia untuk mengembalikan kegemilangan maruah UMNO yang pernah tersimbah dengan kehinaan akibat kekalahan lalu,” ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Begitu juga katanya di peringkat bahagian dan negeri yang cukup kukuh semangat kerja sepasukan.

“Marilah kita kembali merapatkan barisan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk telah berlalu, kiambang perlu kembali bertaut. Mari kita mengorak langkah ke hadapan. UMNO yang pernah terluka dalam PRU-14, perlu bangkit semula bak harimau terluka mahu menerkam.

“Kita balut luka lama. Kita cari ubat untuk mengubati penyakit yang hinggap selama ini. Biarpun ubat itu pahit, namun kepahitan ubat itulah yang menjadikan ia mujarab untuk kesembuhan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Justeru itu tegasnya lagi, UMNO mesti kekal berpadu termasuklah saf kepimpinannya bagi melawan asakan baik dari dalam mahupun dari luar.

“UMNO hari ini diasak dari luar dan tidak kurang dari dalam. Sesungguhnya, UMNO tidak boleh untuk tidak berpadu. Perpaduan merupakan asas kepada keteguhan semua organisasi politik.

“UMNO tidak terkecuali dan wajib merapatkan saf di kalangan pimpinannya. Akar umbi parti serta rakyat amat mendambakan UMNO dan BN menjadi dominan semula. Kepimpinan di pelbagai peringkat perlu meraikan harapan ini dengan respons positif ke arah menjadikan ia suatu realiti,” katanya.

Ahmad Zahid juga berpesan menjadi tanggungjawab semua ahli untuk menjadi ‘lidi seikat’ yang mampu menyapu kotoran dan menghapuskan persepsi negatif terhadap UMNO serta unsur-unsur yang mahu pecah-belahkan parti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.