UMNO Menyongsong Perubahan Mendepani Cabaran – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 27 Mac – UMNO yang akan berusia 75 tahun pada tahun ini diharap akan semakin matang menghadapi mehnah dan tribulasi yang semakin rencam ini dan amat penting masing-masing memahami kelemahan diri daripada mencari kelemahan lawan.

Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata jika masing-masing bermuhasabah dengan jujur dan merangka strategi dengan teliti, UMNO mampu menampilkan diri sebagai parti yang lebih dinamik, progresif dan produktif.

Menurut beliau kestabilan politik sangat penting kerana di situ ada kepercayaan rakyat dan keyakinan dalam memaju dan memperkukuhkan sosio ekonomi rakyat dan pergerakan itu sebagai sayap UMNO telah merekayasa kebangkitan Pemuda, menyongsong perubahan dan berusaha menjadi teras kebangkitan UMNO.

“Dunia yang semakin global mendesak manusia menjadi semakin tribal. Kita diasak untuk berpuak-puak, bersuku-suku dan berkabilah. Perpaduan menjadi rapuh ibarat sebatang lidi yang mudah dipatahkan. Begitu juga dengan kesatuan; ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuanya.

“Kita masih bergulat tentang penyatuan Melayu–Islam terutama dalam konteks politik. Semakin banyak parti politik ditubuhkan, semakin sukar hendak disatukan. Akhirnya kita hanya mampu mengumpul sebanyak mana titik persamaan dalam perbezaan yang boleh ditemukan berbanding mencari titik perbezaan yang meracikkan.

“Cukuplah kekalahan dalam PRU14 memberi banyak pengajaran kepada kita. Maka UMNO dan Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) mesti menyelesaikan semua masalah seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah Pemuda UMNO adalah Pemuda yang bekerja untuk rakyat kerana sedar akan tradisi perjuangannya membela rakyat dan pelbagai program kebajikan rakyat digerakan seperti program sanitasi dan desinfeksi percuma sepanjang kita ber-PKP.

“Peranan Pemuda sebagai jurubicara masyarakat serta menjadi mata dan telinga rakyat, membolehkan kita merasai denyut nadi rakyat dengan empati. Kesetiaan dan istqomah Pemuda UMNO kepada parti dan perjuangan UMNO adalah sejak dulu, kini dan selamanya. Kesetiaan dan istiqomah ini pula bukanlah hanya kata-kata kosong, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk pembuktian tindakan dan gerak kerja Pemuda selama ini,” tambahnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.