Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO Perhimpunan Agung UMNO 2020

UCAPAN DASAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
DATO’ DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
PADA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2020
27 MAC 2021
***********************

Maksudnya:

“Dan pada sisi Allahlah pemilik kunci kepada semua perkara ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia-lah yang mengetahui apa sahaja yang berlaku di daratan dan di lautan, sehinggakan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan dalam pengetahuan dan ketentuanNya, dan tidak pula jatuh walau sebutir biji pun hatta dalam kegelapan bumi, yang basah mahupun yang kering, melainkan setiap sesuatu ditentukan dan tertulis di dalam Kitab yang nyata iaitu di Luh Mahfudz”

SIDANG PERWAKILAN PEMUDA SEKALIAN,

1. Saya mulakan ucapan dasar tahun ini dengan memetik surah Al-An‘am ayat 59, yang begitu dalam maknanya bukan sahaja kepada diri saya tetapi untuk kita semua.

2. Ayat yang benar-benar menggambarkan betapa besarnya dampak dan impak, setiap yang berlaku dalam kehidupan kita. Semuanya ditentukan dan ditakdirkan Allah, sama ada kita sedar ataupun dalam banyak keadaan berlaku di luar perencanaan kita tanpa terduga.

3. Ya! SIAPA SANGKA badai COVID-19 yang melanda dunia dan negara pada waktu ini membawa kita buat julung-julung kalinya ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2020, dalam keadaan norma baharu. Tiada lagi sambutan mega sepertimana kelaziman biasa. Malah perhimpunan tahunan yang dirai bagaikan pesta kerabat besar parti, hanya mampu diatur dengan serba sederhana!

4. Ya! SIAPA JANGKA sejak Perhimpunan yang lalu, kita bertemu semula kali ini, dalam keadaan kita tidak lagi menjadi Pembangkang tetapi sebahagian daripada kita kini kembali dalam Kerajaan! Tidak tergapai dek pemikiran, tidak terdetik di sanubari, Kerajaan Pakatan Harapan hanya mampu bertahan 22 bulan, lantas ranap angkara berantakan berebut kuasa sesama sendiri.

5. Ya! SIAPA JANGKA dua parti induk Melayu-Islam yang berseteru 40 tahun lamanya, akhirnya mempaterikan agenda Penyatuan Ummah secara bersama di PWTC ini, atas nama PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL, dengan linangan air mata syukur dan hiba.

6. Namun SIAPA SANGKA, belum pun kering deraian air mata, belum pun reda hilai tawa bersama, kasih yang baharu berputik, terpaksa pula dikongsi dengan pihak ketiga. Dengan rasa berat hati, kita pasrah pilihan sahabat kita untuk bermadu, walau hati rasa terluka.

7. Semuanya ini berlaku tanpa diduga, tanpa dijangka. Yang pasti semuanya sudah termaktub dalam kitab aturan, ditakdirkan oleh Yang Maha Berkuasa sebagaimana ayat Al-An’am yang saya bacakan tadi.

UJIAN MENGUKUR KESETIAAN

Sahabat-Sahabat Seperjuangan Sekalian,

8. “Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Prinsip tawakkal mengajar kita bukan sekadar menyerah kepada takdir Ilahi semata-mata. Sebaliknya ia wajib disulami dengan ikhtiar dan dicermati dengan usaha. Malah, ujian yang silih-berganti perlu didepani dengan insaf, sabar dan penuh bijaksana.

9. Demikian jugalah perihal bahtera UMNO yang pernah diuji dengan hempasan badai yang ganas, hingga hampir menenggelamkannya. Tidak sedikit juragan hatta nakhoda terjun meninggalkan bahtera, lantaran mahu selamatkan diri hingga parti sanggup diketepi.

10. Namun saya amat berbangga dengan kesetiaan para Pemuda di akar umbi, yang sanggup melalui saat getir, harungi susah senang bersama mempertahankan bahtera dalam tempoh hampir tiga tahun ini.

11. Sudah tentu kita juga harus berterima kasih kepada Nakhoda utama Datuk Seri Presiden atas kecekalan dan keberanian, memastikan bahtera UMNO tidak karam, tanpa kuasa, tanpa jawatan. Bahkan terpaksa pula berhadapan dengan seribu satu ugutan, rintangan dan tekanan.

12. Ikrar Pemuda, biarpun seganas mana gelombang menghempas bahtera, namun membujur lalu melintang patah, tidak sesekali kami akan pernah menyerah kalah. Biar menderu ribut halilintar menerpa, biar patah pendayung hatta robek layarnya, Pemuda tetap bersama kepimpinan pertahan bahtera walau terpaksa berkayuh dengan tangan hatta jari jemari sekalipun!

13. Rupanya roda berputar begitu pantas. Bahtera yang ditakuti karam bukan sahaja berjaya mengharungi badai, bahkan Tuhan takdirkan kita kembali ke puncak kuasa, di atas keruntuhan Kerajaan PH yang bersengketa dan haloba kuasa.

14. Benarlah, kuasa yang dikecap bukan milik mutlak selamanya. Kuasa dan kepimpinan hanyalah pinjaman Yang Maha Pencipta. Ingatlah hakikat ini:

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kuasa kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kuasa dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Ali Imran [3] : 26)

15. Namun ujian kemenangan ini hakikatnya begitu mencabar sekali. Bagaikan mengulangi tragedi Peperangan Uhud, nikmat kemenangan yang dikecap seketika telah mengaburi kewarasan apabila ghanimah harta di hadapan mata, hingga amanah perjuangan dan perintah Junjungan mudah dilupa.

16. Demikianlah tamsilan sirah yang bagaikan berulang. Kini, ditakdirkan kita kembali berkongsi kuasa, hanya untuk memelihara kerajaan buat seketika. Malangnya! Ramai yang mula lupa diri, lupa daratan. Mungkin
ada benarnya singgungan kata-kata pujangga perihal orang lupa diri tatkala diulit fatamorgana kuasa:

Beriman di mulut, hati berlumut.
Beriman di lidah, hati menyalah.
Lidah bercabang, langkah menyilang.
Tamak harta, mabuk dunia.
Loba pada pangkat, lupa pada akhirat.
Kemaruk puji, lupa diri.

Ke tengah menfitnah, ke tepi mendengki.
Ke laut menghasut, ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu, ke hilir menyindir.
Ke atas mengampu, ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong, ke lurah menyumpah.

17. Hakikatnya ujian kuasa dan harta bukanlah mudah untuk dihadapi. Saat kita sama-sama diuji jatuh kecundang, ternyata kita mampu melupakan segala sengketa lama, kita boleh pula berganding bahu meniti bara, sama-sama berdengkit-dengkit, sama-sama merangkak mengesot, sedikit demi sedikit menulusuri terowong sempit.

18. Namun, tatkala kelihatan sinaran cahaya di hujung terowong, mulalah menjelma pelbagai kelibat dan watak warga parti yang menzahirkan warna sebenar diri.

19. Ada yang dulunya bagai merpati dua sejoli, berpimpin tangan berpisah tiada, tetapi kini “ibarat bunga, mekar dipakai layu dibuang”. Sikap mereka ini, umpama “biduknya satu, nakhodanya dua”, lantaran sikap “sayangkan kaki pada terompah”. Ingatlah! “Buruk-buruk si kayu gaharu (seteruk-teruk Parti UMNO), apabila dibakar tetap wangi baunya”.

20. Ada juga yang dulunya sanggup berjuang bermati-matian, pantang musuh cabar menyerang, kekuda dipasang, jiwa raga rela dipertaruhkan. Tetapi, kini dek mabuk kuasa dan harta, taat dan setia tergamak digadaikan. Rumah sendiri dilayani bagaikan rumah tumpangan, sanggup tikam belakang, rela buka pekung di dada tak kira haluan, bahkan biar diri menjadi gunting dalam lipatan, lupa hakikat diri bahawa parti inilah yang mengangkat mereka pada kedudukan penuh penghormatan.

21. Kendati begitu, saya ingin mengimbau sejarah Islam lampau yang berlaku pada zaman Khalifah ke-4 Saidina Ali bin Abi Talib ketika Ali terpaksa berdepan dengan Mu’awiyyah dalam peperangan Siffin, yang menyaksikan umat Islam berpecah teruk kepada beberapa kumpulan besar. Perpecahan ini terjadi tidak lain hanyalah kerana wujudnya pelbagai kepentingan yang menguasai diri.

22. Kumpulan pertama ialah Ahlu al-Qurra’ yang kemudiannya masyhur digelar Khawarij, satu kelompok yang berkepentingan diri, berjuang kerana mengharapkan imbuhan dan ganjaran.

23. Kumpulan kedua adalah kelompok tentera dari Iraq yang ramai jumlahnya tetapi LOMPONG PERJUANGAN, bahkan mudah goyah cepat mengalah tatkala disogok tentera Mu’awiyyah.

24. Kumpulan ketiga pula ialah orang-orang Ansar. Biarpun kecil sahaja bilangannya, namun tetap teguh di belakang Ali, walau diuji dengan harta.

25. Ujian bermula tatkala Khalifah Ali akur untuk berunding menamatkan sengketa. Namun ditentang puak Khawarij. Mereka mula memberontak, mengadu domba cetus kesangsian terhadap kepimpinan Ali. Dengan slogan “Tidak ada hukum kecuali milik Allah” Kononnya merekalah pejuang sejati menyatukan umat.

26. Sebaliknya mereka inilah sebenarnya pengkhianat, bertopengkan agama dan retorik dengan madah berhelah, kononnya umat perlu bersatu kerana Allah, tetapi hakikatnya ‘pepat di luar rencong di dalam’. Saidina Ali dengan tegas membidas: “Ungkapan yang diluahkan itu benar, tapi punya maksud yang jahat”.

27. Apakah sejarah kini berulang kembali? Dinamika politik kini juga menyaksikan timbul watak-watak manusia seperti ini, penuh berkepentingan dan licik bermain wayang. Ditarik dia menanduk, digiring dia menyepak. Diberi sejengkal hendak sehasta. Diberi sehasta hendak sedepa. Diberi madu dibalas tuba. Diberi berkuku kita pula hendak dicengkamnya.

28. Buat mereka ini, Pemuda UMNO juga mahu membidas:

Ketika Kuat Lembut Menguntum
Bicara pesona dalamnya mendomba
Resam berpakat tidak menikam
Gelora dusta punca sengketa

Serai malang sekerat di gusi
Manisan sendiri dimakan jiran
Ramai curang menjual diri
Perikatan dicari tinggalkan teman

Jika sepat menghalang belida,
Ikan yang dipukat mencelah jala,
Jika khianat bersarang di dada,
Kesatuan yang erat terpisah jua

KELANGSUNGAN AGENDA KEBANGKITAN

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

29. Segala mehnah dan ujian yang kita lalui bersama, cukup untuk menguji tahap kesetiaan kita kepada idealisme dan prinsip perjuangan. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat kesenangan. Setia kepada perjuangan bukan hanya ketika berkedudukan. Setia kepada perjuangan bukan juga di waktu diuji dengan serba kepayahan.

30. Sebaliknya setia yang sejati adalah di saat kita harus membuat perhitungan besar, antara mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri, atau merelakan diri diperlakukan semahunya bak lembu dicucuk hidung oleh tuan yang mendedaknya. Mereka ini kadangkala terlupa atau buat-buat lupa bahawa tuan dedaknya itu, umpama serigala berbulu kambing, penuh muslihat, licik tingkah olahnya.

31. Namun, jangan ingat UMNO ini seperti “kambing kecil, merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi”. UMNO masih punya maruah dan harga diri. Jangan cuba-cuba menjolok sarang tebuan. Kerana sengatannya masih berbisa lagi.

32. Pemuda berpendirian tegas, mendesak agar kepimpinan parti tidak lagi memberi muka kepada golongan ini. Jangan sesekali diberi tempat di barisan hadapan untuk mewakili parti. Malah, ahli UMNO wajar menolak watak-watak hipokrit seperti ini dalam pemilihan parti. Pesanan Nabi:

“Jangan sampai seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)

AGENDA PEMUDA ERA KEBANGKITAN

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

PEMUDA BANTU RAKYAT, JURUBICARA RAKYAT

33. UMNO dan Rakyat umpama aur dan tebing, irama dan lagu. Tanpa rakyat UMNO runtuh. Tanpa UMNO, rakyat lumpuh. Sebab itulah apabila rakyat susah, resah, dan gelisah memikirkan dapur tak berasap, makan pakai anak-anak tersekat, di kala pandemik Covid menular membiak, Pemuda mesti bangkit menggerakkan agenda #PEMUDABANTURAKYAT.

34. Terus-terang saya ingin merekodkan betapa bangganya saya kepada anda semua. Rela berkorban tenaga, masa dan wang ringgit demi rakyat melalui pelbagai inisiatif khidmat bakti terutamanya membantu agih bakul makanan dan program sanitasi nyahkuman, mencegah virus covid-19 secara percuma, di semua 191 Bahagian seluruh Negara.

Syabas!

35. Pemuda juga terus istiqomah dengan Agenda #PemudaJurubicaraRakyat. Pemuda bersuara isu-isu rakyat ‘without fear or favour’, seperti tuntutan i-Sinar tanpa syarat, lanjutan Moratorium tanpa faedah tanpa syarat, kemudahan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), capaian internet dan kebajikan mahasiwa; bahkan kita juga menyediakan khidmat guaman percuma untuk mereka yang rasa teraniaya dengan kompaun RM10,000 yang tinggi dan tidak munasabah.

36. Kita sedar banyak suara-suara sumbang, sindiran dan perlian tajam, namun sedikitpun tidak melunturkan semangat kita untuk terus bersuara! Ini bukan soal nak popular, tetapi dua talian khas (hotline) yang kita sediakan untuk memantau isu-isu rakyat menerima ribuan mesej orang ramai, menandakan betapa rakyat meletakkan harapan tinggi untuk kita terus membela mereka.

37. Saya cukup terkesan satu aduan yang kita terima mengenai kes seorang anak muda yang baru dapat kerja di Larut. Kesalahannya hanya kerana bertanya tentang ubat ibunya di penghadang kaca kedai Mesra Petronas, tanpa pelitup muka, tanpa scan MySejahtera. Beliau akhirnya dikompaun RM10,000. Hakikatnya, ratusan aduan seperti ini kami terima setiap hari melalui hotline Pemuda.

38. Sebab itulah Pemuda kena terus bersuara. Pemuda harus menyelami denyut nadi suara hati rakyat yang merana. Pemuda mesti menjadi penyambung lidah rakyat yang teranianya. Kerana itu darah daging kita.
Itu tradisi perjuangan kita. Tradisi UMNO Membela Rakyat! Jika sudah tidak sanggup bersuara untuk rakyat, usah bicara soal pengorbanan!

39. Alhamdulillah, hasil desakan semua secara berterusan melalui pelbagai medium dan cara, banyak juga isu yang kita perjuangkan akhirnya diterima juga Kerajaan. Ternyata! Ada kalanya kelantangan itu ada bisanya berbanding kaedah berbisik.

40. Namun, jangan sesekali mendabik dada untuk ‘claim credit’, jauh sekali untuk kita bersaing dengan sesiapa kononnya kita sahajalah juara rakyat, kerana yang penting apa juga yang kita usahakan, matlamat akhirnya rakyat yang dapat manfaatnya.

41. Ambillah semangat regu Pemuda era 70-an Almarhum Bekas Ketua Pemuda Harun Idris dan Naibnya Musa Hitam yang mempelopori idea ‘Parti dalam Parti’, lantaran kelantangan dan ketegasan Pemuda di zaman mereka yang sentiasa berani mengkritik dan menjadi agen ‘semak dan imbang’ kepada Kerajaan.

42. Seharusnya para penguasa jangan pula rasa tercabar atau mudah koyak apabila ditegur. Mendengar dengan hati terbuka dan bersedia menambah-baik demi rakyat adalah lebih baik daripada melatah atau merasa terancam, lantas mengambil sikap yang keras. Ingatlah pesanan Nabi SAW:

“Barang siapa dikalangan hamba yang diberikan kuasa oleh Allah untuk menguruskan rakyat, lalu dia tidak melengkapi dirinya dengan nasihat atau teguran, maka tidak akan merasa baginya bau syurga” (Sahih Bukhari)

MEWARISI KEBOBROKAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

Sahabat-Sahabat Seperjuangan Sekalian,

43. Benar, Kerajaan PH sudah jatuh, tetapi masih banyak lagi isu-isu tertunggak yang diwariskan kepada Kerajaan hari ini yang belum tuntas penyelesaiannya.

44. Pemuda ingin bertanya, apa sudah jadi dengan tuntutan rakyat mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat segala dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH)?

45. Apakah status pendakwaan dan keadilan buat Allahyarham Adib Kassim, anggota Bomba yang dibunuh kejam sebagaimana dapatan Inkues?

46. Bagaimana pula status siasatan dan pendakwaan kes-kes pimpinan PH yang digugurkan atau ditarik balik termasuk kes banglo dan terowong Lim Guan Eng, kes ADUN-ADUN DAP dalam aktiviti pengganas LTTE, kes rogol melibatkan bekas ADUN DAP di Perak dan lain-lain?

47. Apakah kerajaan akan terus berdiam diri juga terhadap tuntutan penubuhan RCI menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang jelas menggambarkan wujud pendakwaan terpilih; wujud campur tangan politik dalam badan pengadilan dan kehakiman; bahkan wujud penyalahgunaan kuasa dalam perlantikan Hakim?

48. Bagaimana pula dengan kes perhimpunan pro-komunis di sebuah kolej swasta Kajang? Atau kes penyeludupan abu mayat Chin Peng? Mahupun isu Buku Teks Sejarah yang dimanipulasi fakta mengagungkan komunis hingga mengecilkan peranan polis, tentera dan anggota keselamatan negara?

49. Semuanya ini umpama ‘Bangkai Gajah yang tak dapat ditutup hanya dengan nyiru’, baunya yang semerbak pasti terpalit juga ke badan kita. Kepincangan zaman PH tidak wajar didiamkan begitu sahaja, kelak kita akan dikaitkan bersama. Melainkan kita rela membenarkan tanggapan ramai betapa roh PH sudah mulai meresap masuk ke jasad Perikatan!

50. Usahlah berdalih lagi. Jangan menggunakan madah Penyatuan Ummah bagi mempertahankan kelemahan. Jangan berselindung disebalik slogan ‘No Anwar No DAP’ bagi menyembunyikan agenda peribadi mempertahan kedudukan. Janganlah diulangi perangai PH lalu yang hanya pandai menabur janji tetapi semuanya ‘dicapatikan’.

51. Jika benar dakwaan bahawa kerajaan PN kunci kepada perubahan, maka mengapakah polisi PH yang selama ini kita lawan, masih lagi dikekalkan? Mengapakah penganiayaan politik yang dimulakan oleh PH dahulu masih kalian teruskan?

52. Di manakah keadilan apabila pemimpin UMNO yang kononnya terima peruntukan daripada sumber 1MDB didakwa, sedangkan pengkhianat yang terima peruntukan serupa tidak pula didakwa, malah terus menjadi suci apabila melompat ke Parti BERSATU, bahkan boleh diangkat pula menjadi Menteri?

53. Di manakah keadilan jika anggota keluarga bekas Gabenor Bank Negara yang mengaku mengetahui tentang ratusan juta wang 1MDB di dalam akaun mereka tidak pula didakwa, sedangkan pemimpin UMNO begitu pantas dihadap ke mahkamah pengadilan?

54. Jadi siapa sebenarnya yang khianat? Siapa yang tidak jujur dalam muafakat? Sekiranya ikhlas, kenapa amalan pendakwaan terpilih warisan PH masih diteruskan?

KESTABILAN KUNCI KESEJAHTERAAN

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

55. Hakikatnya rakyat memang susah. Ramai hilang punca pendapatan. Ramai hilang pekerjaan. Ramai eksekutif yang dulunya bergaji tetap dan berelaun lumayan tetapi kini terpaksa lakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup. Ramai yang dulunya berstatus T20, kini jatuh ke M40 bahkan B40 hingga hidup tertekan tak keruan.

56. Ada juruterbang Malindo yang dicutikan tanpa gaji setahun menghubungi saya melalui facebook, mempromosi jualan rempeyek bersama-sama tiga lagi rakan juruterbang lain yang senasib dengannya.

57. Ada pekerja kilang mengadu tertekan memikirkan nasib 3 orang anaknya yang perlu disara selepas kilang ditutup di Seberang Jaya.

58. Ada seorang pemuda 30-an dari Besut dibuang kerja dengan pelbagai tanggungan, bawa GRAB pun tak dapat tampung, bergantung harap pada i-Sinar untuk mulakan perniagaan kecil-kecilan di kampung.

59. Ada graduan yatim dari Grik, Perak, mesej di instagram saya. Beliau menjadi sandaran keluarga menyara adiknya OKU sedang ibunya terlantar sakit barah. Berkongsi resah nak bayar hutang PTPTN tapi pekerjaan bagaikan tiada kepastian.

60. Inilah realiti sebahagian kehidupan rakyat di bawah, yang memang susah dan tertekan dengan situasi ekonomi negara hari ini. Apakah puncanya? Benar, Covid19 adalah sebahagian daripada puncanya. Benar, Kerajaan telah menyalurkan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat.

61. Tetapi mengapa begitu lambat sekali proses pemulihan ekonomi negara? Sedangkan negara jiran yang kadar wabak jauh lebih buruk daripada kita, menunjukkan pertumbuhan ekonomi lebih pantas, malah menerima limpahan pelaburan.

62. Laporan Bank Dunia dan United Nations Conference on Trade and Development melaporkan dua minggu lalu, kedudukan Malaysia jatuh tercorot berbanding negara-negara serantau ASEAN lain dari segi pelaburan asing.

63. Dahulu kita gah di Bursa Malaysia, tetapi trend terkini pelabur luar mendadak meninggalkan pasaran saham, sedangkan kita pernah menjadi juara pasaran saham dunia. Syarikat gergasi IT IBM menutup operasi, Toyota pula mahu memindahkan pusat operasi ke Indonesia. Tesla dan Google dilaporkan melabur berbilion ringgit di negara jiran kita.

64. Bayangkan, betapa banyak peluang pekerjaan yang terlepas akibat pelaburan beralih arah. Bayangkan, perasaan lebih 800,000 pengganggur kini, yang melihat sahaja pelaburan berlalu depan mata, sedangkan diri terus tertekan, tanpa kerja, tanpa pendapatan.

65. Mujurlah ada juga berita menggembirakan Peneroka Muda Saudara Zulkarnain di Felda Gunung Besout 3, Sungkai dan Pok Su Mail di Felcra Teratak Batu Pasir Puteh, apabila harga komoditi minyak sawit naik ke paras tertinggi awal bulan ini hingga mencecah RM900 setan bagi Buah Tandan Segar (BTS), berbanding hanya sekitar RM300 zaman PH.

66. Sebenarnya, kunci kepada keutuhan ekonomi terletak kepada kestabilan polisi dan dasar Kerajaan. Inilah prasyarat asas membina keyakinan dan meneguh kepercayaan pelabur. Ya, kestabilanlah yang memacu kesejahteraan. Kestabilanlah yang menjamin keyakinan pelaburan. Kestabilanlah yang merancakkan pertumbuhan ekonomi hingga mencipta pelbagai peluang pekerjaan, meningkatkan keberhasilan rakyat, membina kemakmuran sekaligus menatijahkan keharmonian.

67. Selama lebih 60 tahun, inilah acuan kestabilan yang begitu sebati dalam pemikiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Ya! Model Barisan Nasional yang mewakili realiti kemajmukan masyarakat berbilang agama dan kaum, dengan dipasakkan akar kekuatan keindukan parti yang mewakili bangsa teras majoriti. Inilah tunjang kestabilan sebenar yang menjamin kesejahteraan.

68. Namun, bagaimana nak stabil jika polisi-polisi warisan Kerajaan PH yang ditentang dahulu masih dikekalkan? Bagaimana nak stabil, bila aset-aset strategik syarikat-syarikat milik Kerajaan pun masih dijual? Bahkan banyak projek-projek infrastruktur mega pengganda ekonomi (multiplier effect) yang baik untuk rakyat terus dibatalkan.

69. Rakyat wajar bertanya kepada Kerajaan khususnya Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), apa pelan strategik untuk memancing pelabur masuk selain kesibukan beliau memancing wakil rakyat PKR masuk PN?

Ke Sana Ke Sini Jangan Sekali,
Nanti Covid Menular Kembali,
YB Nak Bersuara Parlimen Dikunci,
Rupanya sibuk Lompat Parti.

Ke Sana Ke Sini Setiap Hari
Membawa Dulang Membeli YB
Titah Tuanku Tak Dipeduli
Parlimen Tetap Dikunci Lagi.

RESEPI KEMENANGAN

Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

70. Pilihanraya akan datang adalah lebih besar gelora dan gelombangnya. Ia bakal menggoncang bahtera bukan sahaja dengan fitnah lama, tetapi juga dengan pelbagai khabar curiga.

71. Namun, UMNO tidak boleh memasuki medan perang dengan kaki yang tempang. UMNO tidak boleh memasuki gelanggang dengan kasut yang berlubang. Justeru, Pemuda menggariskan 5 perkara penting sebagai pedoman dan resepi kemenangan, untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang.

RESEPI PERTAMA: KUASAI PERSEPSI ANAK MUDA

72. PERTAMA, kita perlu menyedari bahawa lanskap dan demografi politik negara hari ini sudah berubah. Dahulu, kita boleh bergantung kepada undi ahli untuk memenangi kerusi. Tetapi hari ini dengan pertambahan 7.8 juta pengundi termasuk Undi 18 tahun yang tidak berparti, kita mesti segera memenangi hati dan menguasai persepsi hingga mampu diterjemahkan kepada undi.

73. UMNO mesti berani berubah dan bersedia melakukan transformasi ke arah budaya politik yang berintegriti. UMNO mesti dilihat sebagai parti yang tulus dan telus, berpegang kepada prinsip moral dan berakhlak tinggi. UMNO mesti dilihat mendekati semua lapisan pengundi bukan hanya syok sendiri sesama ahli. UMNO mesti dipandang sebagai suara yang konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat, biarpun menjadi lilin yang membakar diri. Barulah kita mudah diterima kembali.

RESEPI KEDUA: CALON YANG SEGAR DAN DITERIMA RAKYAT

74. KEDUA, untuk UMNO diterima rakyat terutama 47% pengundi muda yang rata-rata tidak terikat dengan sebarang ideologi mahupun parti, UMNO mesti berani menonjolkan pemimpin muda yang segar bukan sekadar pelapis, sebaliknya sebagai barisan peneraju kepimpinan negara yang baharu.

75. Maka PEMUDA berpendirian, calon-calon PRU akan datang, mestilah diperbanyakkan orang muda yang kompeten dan berilmu, diterima rakyat bukannya sekadar hero dikalangan ahli sendiri. Calon-calon juga mesti terdiri hanya mereka yang setia dan bukannya yang mudah ‘kowtow’ kepada sekutu atau mengkhianati parti sendiri.

RESEPI KETIGA: YAKIN DIRI, PERTAHAN IDEOLOGI

76. KETIGA, jangan sesekali rasa kerdil diri (inferiority)! Merasakan parti ini lemah, lantas tidak mampu bersendirian. Jangan hilang harga diri! Merasakan parti ini tidak lagi ada karamah, lantas rela melutut kepada seteru, kononnya boleh menjamin kemenangan.

77. Ya! Rakyat sudah mencuba Kerajaan PH selama 22 bulan, lantaran terkesima dengan janji bulan dan bintang, termakan dengan fitnah dan hasutan kebencian. Namun akhirnya rakyat menjadi mangsa, kerajaan yang naik mengganti Barisan Nasional rupanya indah khabar dari rupa.

78. Rakyat juga ditakdirkan mendapat Kerajaan PN yang hakikatnya rapuh dan susah nak bertahan lama, lantaran hanyalah sekadar gabungan longgar parti-parti yang bekerjasama. Janji untuk bersama hanya buat seketika, kerana sama-sama telah sepakat untuk kembalikan mandat kepada rakyat semula.

79. Justeru, Pemuda mesti memahat keyakinan yang jitu bahawa kita ada jenama Barisan Nasional yang wajib dipertahankan. Inilah sahaja parti yang terbukti punya ‘track-record’ yang panjang, mampu menawarkan KESTABILAN.

80. InsyaAllah, rakyat bersedia menerima kita. Rakyat menanti kita menjadi kerajaan semula. Namun, sudah tentu dengan citra perjuangan kita yang lebih kudus dan wajah baru yang lebih tulus.

81. Ya! UMNO tidak sempurna kerana kita semua manusia biasa yang tidak terlepas daripada noda dan dosa. Yang penting kita belajar daripada kesilapan dan jangan diulangi kepincangan yang sama.

RESEPI KEEMPAT: SEDIA BEKERJASAMA TANPA MENCAIRKAN PRINSIP

82. KEEMPAT, sejak merdeka lagi UMNO tidak pernah bersendirian dalam membentuk Kerajaan. UMNOlah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat, demi negara. Tetapi bukan dengan cara menggadai maruah, mencairkan wadah dan membiarkan diri diinjak-injak muka kepalanya.

83. UMNO adalah parti yang mendokong penyatuan demi Ummah, tetapi bukan dengan cara menghalalkan khianat dan merelakan parti terusmenerus dicurangi dan diperkotak-katikkan semahunya.

84. Kita juga sedar ada parti yang ditubuhkan untuk menggantikan kita, sengaja membentuk perikatan baharu, untuk menyisihkan barisan kita. Depan manis, belakang bak ‘telunjuk lurus kelengkeng berkait’. Bercakap soal kejujuran tapi sebenarnya dialah khianat. Bercakap soal bersih dan berintegriti tapi cakap tak serupa bikin. Bercakap soal perpaduan tapi dialah yang mencatur pemecahan. Inilah yang dikatakan orang tua-tua bijaksana,

“Kayu bengkok, masakan lurus bayangannya”.

85. Namun bagaimana ‘kepala cuba disorokkan, punggung tetap juga kelihatan’. Sebab itulah UMNO jangan mudah tertipu dan mesti kenal kawan dan lawan. Siapa yang boleh dijadikan kawan tapi tidak makan kawan. Siapa yang sebenarnya lawan walaupun sudah berkawan. Yang penting UMNO jangan hilang arah dan mesti tegas, berani buat pendirian ‘bak menikam biar tembus, memancung biar putus, menggantung biar tinggi’.

86. UMNO tidak pernah curangi kawan. Kita berpegang kepada janji dan ketetapan bersama dalam Muafakat Nasional, termasuklah tidak pernah setuju menganggotai Parti Perikatan Nasional, walaupun akhirnya didaftarkan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan, tanpa persetujuan.

87. Buat sahabat dan sekutu kami PAS di dalam Muafakat Nasional. Ikhlas kami Pemuda katakan penyatuan bersama kalian adalah mimpi terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya. Pegang eratlah ikatan Muafakat Nasional ini seutuhnya! Jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga! Kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua.

88. Seruan Pemuda buat kepimpinan, berpakatlah dengan hikmah, berundinglah tanpa helah bak “kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari”. Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai. Yang penting mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan.

89. Kami Pemuda rela menjadi sebahagian daripada kudrat yang memikul jentera untuk kemenangan semua. Namun, Pemuda ingin ingatkan! Jangan sesekali khianat dan curang bak “duduk berkisar, tegak berpaling” kerana kesannya kelak boleh merosakkan kesatuan dan permuafakatan.

RESEPI KELIMA: PERKASA JENTERA, JAUHI SENGKETA

90. KELIMA, Alhamdulillah 7 PRK dan 1 PRN di Sabah yang dimenangi sebelum ini memberikan isyarat bahawa jenama Barisan Nasional masih segar di hati rakyat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Pemuda MCA, Pemuda MIC, Pemuda PBRS dan Friends of BN kerana kekal setia bersama bahtera Barisan Nasional di kala susah dan senang. Harapnya kita terus bersama menuju ke destinasi.

91. Saya percaya, banyak kita pelajari daripada kemenangan ini untuk kita menyusun AGENDA GERAK PEMUDA bagi mempersiapkan jentera mengadapi PRU ke-15 nanti, untuk kita sama-sama berusaha menambat kembali hati dan kepercayaan rakyat.

92. Pemuda tidak lagi sekadar menggalas tugas-tugas tradisi gerak gempur pasang poster sahaja, kini Skuad Sabil diberikan amanah kali pertama mengurus keselamatan dan yang terbaru PACABA – Laksanakanlah amanah ini dengan penuh semangat dan serlahkanlah wibawa kalian di mata rakyat!

93. Utamakanlah kesatuan dan solidariti! Pertahankanlah tradisi dan insitusi kepimpinan parti! Jangan mudah percaya cerita-cerita sensasi yang mencetuskan prasangka sesama sendiri! Janganlah menari mengikut alunan irama dan lagu dendangan musuh yang sentiasa mendengki!

94. Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti! Mula menyusun ‘rakit’, ‘cai’ kumpulan, mula mencatur peluang nak rebut kedudukan. Ingatlah! semuanya ini tidak punya makna apa-apa, jika bahtera karam dalam medan sebenar peperangan.

Sahabat-Sahabat Seperjuangan Sekalian,

95. Sejujurnya saya ingin merakamkan penghargaan setulusnya kepada seluruh jentera Pemuda di segenap pelusuk negara! Anda semua adalah wira-wira yang memberi nafas baharu kepada parti ini! Kalian terbukti setia bersama saat suka dan duka, tatkala kita mula meniti bara untuk BANGKIT KEMBALI! Kalian terbukti cekal dan sanggup berkorban untuk kita bersama MEREKAYASA KEBANGKITAN parti keramat UMNO ini!

96. Kalianlah sebenarnya sumber kekuatan untuk saya terus berdiri sehingga ke saat ini, walau tak terbayang dek imaginasi untuk saya masih bertahan hingga ke titisan ini, dengan segala gelora badai penuh onak dan duri. Semuanya ini kita telah lalui bersama untuk UMNO menuju ke DESTINASI – SEBUAH KEBANGKITAN!

Justeru, Wahai Pemuda-Pemuda Teras Kebangkitan!

97. Persiapkanlah jentera, Perkemaskan gerakerja bagi memenangi PRU15 yang menjadi matlamat kita. This is our goal! This is the real battle!

This is the ultimate war!

98. Yakinlah wahai Pemuda-Pemudaku sekalian!

Selagi nyawa di kandung badan,
Selagi hayat diizin tuhan,
Selagi kudrat menggengam tangan,

Berjuanglah sehabis daya mempertahankan bahtera perjuangan!

Ingat pesan keramat “Dari Hidup Bercermin Bangkai, Lebih Baik Mati Berkalang Tanah”.

99. Namun IKRAR PEMUDA, bahtera parti keramat ini tidak sesekali kita korbankan.

100. Jadilah obor dan penggerak kepada edisi KEBANGKITAN ini,
Jadilah penawar kepada semua kesilapan lalu,
Jadilah pewaris kepada perjuangan parti,
Jadilah wira untuk UMNO kembali ke DESTINASI;
demi KESTABILAN, demi agama, demi bangsa, demi negara.

PEMUDA! BANGKIT KEMBALI!

WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH, WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH!

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/03/UCAPAN-DASAR-KPUM-PAU-2020.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.