Pemuda Sokong Penuh Keputusan MKT, Tubuh Pasukan Khas Pemuda Perkasakan Tawaran Baharu

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pemuda UMNO hari ini menyokong sepenuhnya keputusan dan pendirian yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi parti (MKT) sebelum ini berhubung hubungan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata secara umumnya rata-rata perbahasan oleh jurucakap pemuda negeri menjurus kepada perkara berkenaan sekaligus menjelaskan segala-galanya bahawa pergerakan itu seiring dengan ketetapan yang telah diambil oleh MKT.

“Banyak perkara politik dibincangkan dan isu yang hangat sekali sudah tentulah soal hubungan dengan PPBM yang telah diputuskan hubungan oleh Majlis Kerja Tertinggi. Saya kira daripada perbahasan kita, semua sepakat bahawa kita Pergerakan Pemuda UMNO mendokong dan menyokong keputusan MKT.

“Kebetulan pula dalam kita berbahas dan bersidang ini, baru sahaja tadi Presiden PPBM menyatakan untuk bertanding di semua kerusi yang UMNO bertanding… maknanya apa? Maknanya memang jelas beliau sudah memberikan isyarat bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan kerusi-kerusi yang kita tidak boleh kompromikan.

“Dalam konteks ini apakah apakah kita masih mahu meneruskan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong… saya perhatikan tadi ada enam negeri yang secara jelas meminta pimpinan buat keputusan yang tegas supaya kita memutuskan hubungan dengan PPBM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah UMNO tidak boleh bergantung harap dengan orang lain dan perlu bersedia untuk menawarkan sesuatu kepada rakyat.

“Kita kena jelas pendirian kita untuk bergerak ke depan. Sebab itulah dalam konteks ini saya mencadangkan dalam aspek tawaran baharu ini kita wujudkan pasukan khas Pemuda dan kita angkat apa yang telah dibuat oleh sdr Azril, Exco Pemuda UMNO dan saudara Datuk Rizam yang mempengerusikan manifesto Pemuda BN.

“Kita akan angkat lagi sebuah pasukan khas yang akan diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan. Saya rasa banyak perkara-perkara yang radikal yang perlu pemuda selusuri dan pemuda perhalusi dan kita perlu tawarkan suatu yang lebih segar kepada rakyat. Ini akan dijadikan permuafakat bersama pada perhimpunan Pemuda Agung Pemuda UMNO hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menekankan bahawa Muafakat Nasional akan terus dipertahan serta diperkasakan namun pada masa yang sama perlu bertanyakan kepada sahabat daripada PAS berhubung pendirian yang dibuat oleh PPBM.

“Kita dalam Muafakat nasional sehingga ke saat ini kita akan terus mempertahan serta memperkasakan Muafakat Nasional tetapi kita harus bertanya kepada sahabat kita PAS dengan pendirian yang dibuat oleh PPBM untuk bertanding di semua kerusi-kerusi UMNO tandingi apakah mereka akan bersama dengan kita atau sebaliknya.

“Ini kerana penting sebab sebelum kita masuk gelanggang perang kita kena tahu siapa musuh kita… siapa kawan kita. Kawan yang tidak belakang dan kawan yang akan bersama-sama dengan kita hingga ke penghujungnya.

“Dalam konteks ini, sebab itulah kita akan terus berusaha apa yang dibangkitkan oleh beberapa negeri termasuk Pahang yang mahu Muafakat Nasional ini dipertahan dan diperkukuhkan akan ambil pertimbangan serius,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.