Manfaatkan Teknologi, Perluaskan Sokongan Untuk Perjuangan UMNO – Hasmawati

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Golongan wanita muda digesa agar meningkatkan teknologi dengan mengaplikasikannya sebagai medium bagi memperluaskan sokongan UMNO berdasarkan kepada fakta dan perjuangan yang telah dilalui.

Demikian kata Ketua Puteri UMNO Negeri Perlis, Hasmawati Abdul Hamid yang menganggap teknologi amat penting dalam menghubungkan serta memberi info bukan hanya rakyat dalam negara tetapi juga di seluruh dunia.

“Era globalisasi kini semuanya terletak dihujung jari sahaja. Dunia tanpa sempadan kita mampu untuk berhubung di seluruh dunia secara langsung, nak ‘order’ makan pun 10 minit sudah sampai depan rumah… jadi mengapa dalam pembelajaran kita tak boleh jadikan ia selaras dengan teknologi kini?

“Kerajaan harus peka dengan sistem pembelajaran secara ‘online’ dengan lebih berkesan… juga penyediaan gadget khusus untuk murid-murid yang kurang berkemampuan untuk mengakses kelas secara maya,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Buloh, Zulikha Abdul Talib merasa kesal semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat aplikasi yang tidak bermoral telah digunakan oleh penuntut-penuntut Universiti.

“Saya mewakili Puteri UMNO Selangor mengetengahkan isu sosial yang terjadi dikalangan anak-anak muda sewaktu PKP melanda. Contohnya pada 19 Feb lalu kita dikejutkan dengan isu ‘sugarbook’ dimana aplikasi tidak bemoral ini rata-rata digunakan oleh penuntut universiti dengan atas alasan tidak berkemampuan untuk membayar yuran pengajian.

“Mujur Puteri UMNO sentiasa cakna dalam membendung perkara ini. Contohnya dengan adanya biro mahasiswa, ia serba sedikit dapat membantu dan menjaga kebajikan mahasiswa di sana. Program ‘sistalk’ juga dapat membantu dalam memdengar permasalahan dikalangan penuntut,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.