‘Liverpool’ Dan Undi 18 Hiasi Perbahasan Wakil Pemuda Johor Dan UMNO Siswa

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Jika pagi tadi  ‘Liverpool’ diungkapkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, kelab berkenaan sekali lagi dikumandangkan oleh wakil Pemuda UMNO Johor, Mandzri Naseb.

Cumanya pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, Ketua Pemuda Tenggara berkenaan membuat analogi dengan menimbulkan persoalan apakah dengan kekalahan kelab berkenaan menyebabkan jurulatihnya dipecat dan ditukar.

Jelas beliau teori karut-marut sedemikian rupa dicanang termasuklah beberapa teori karut-marut lain yang dilantun sebagai gendang untuk tarian canggung bagi memecah belah.

“Tukar Presiden kita akan menang… Siapa penyokong Liverpool sini? Takkan, Liverpool kalah tukar ‘coach’ (jurulatih) boleh selesai ‘season’ ni? Teori ini menunjukkan, kita tidak belajar dari sejarah ketertewasan kita… Siapapun jadi Presiden UMNO, akan kena hentam… Tukarlah siapapun … Sebab apa? Sebab pembunuhan karektor, fitnah, seleweng fakta, adu domba, nista dan auta sahaja yang mereka ada untuk lemahkan kita dan memperdaya rakyat.

“Mereka tak kuat nak hentak sejarah, ‘track record’, tradisi, nilai dan budi UMNO… Jadi mereka tembak ‘pentol, belajarlah dari sejarah. Jangan sampai kita dipatuk dua kali. YouWillNeverWalkAlone,” katanya.

Sementara itu pembahas daripada UMNO Siswa Iman Norhizam pada sesi perbahasannya pula berkata sebagai Penggerak Rejuvenasi UMNO, mereka memohon untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

“Izinkan anakanda untuk memohon kebijaksanaan Pimpinan Pemuda dan Majlis Tertinggi UMNO untuk melihat semula kehadiran kami ini. Molek kiranya jika kami diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi. Diberikan medan untuk bertempur dan membina keyakinan kepada anak muda mahasiswa, bahawa lihat, UMNO benar terbuka, UMNO benar muda, malah lebih muda daripada Parti Muda!

“Kami berdoa dan mengharap agar Kelab Mahasiswa UMNO dapat dimeterai menjadi sebahagian Perlembagaan parti. Sesungguhnya kepercayaan ayahanda dan kekanda amatlah kami hargai dan sedia untuk mengembleng tenaga kearah kemenang kelak. Insya-Allah,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengajak seluruh anak muda untuk sama-sama mendesak pendirian sebenar kerajaan berhubung undi 18.

“Zaman telah berubah, kita juga hidup dengan teknologi yang megah,kKita saling berhubung dan mendapat informasi melalui rangkaian internet dan anak muda dewasa ini juga semakin celik untuk menilai kematangan politik.

“Mereka sudah boleh membuat perbandiangan, yang mana kaca yang manakah permata. Oleh itu, saya sebagai Ketua Penerangan UMNOSiswa, menyeru supaya setiap daripada kita tidak menolak hak anak muda untuk mengundi, tetapi sebaliknya, ubahlah cara kita berpolitik… berpolitik dengan matang, berpolitik dengan kebijaksanaan… UMNO dan sorja PEMUDA sekalian, bersama kita desak agar kerajaan hari ini tetapkan pendirian tentang undi 18,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.