Kena Jadi Induk, Jawatan Perdana Menteri Mesti Dari UMNO – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kedudukan nombor satu negara, iaitu Perdana Menteri harus diberikan kepada UMNO, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas beliau, ini kerana UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) berpengalaman mentadbir negara dengan cemerlang dan bersedia ke arah tersebut.

“Kenapa tidak jawatan perdana menteri adalah daripada UMNO, untuk BN. Peranan kita sudah kita buat selama 60 lebih tahun kita berjaya. Walaupun ada sedikit yang tidak betul, kita betulkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, untuk memastikan perkara tersebut menjadi kenyataan UMNO terlebih dahulu perlu menjadi parti sandaran utama dalam kerajaan yang akan dibina selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.

Katanya lagi, peranan UMNO bukan hanya semata-mata fokus kepada kepentingan orang Melayu sahaja malah keseluruhan rakyat Malaysia agar kesejahteraan negara dikekalkan.

“Sebab itu saya kata kita kena jadi induk, UMNO tak boleh jadi anak ayam tapi UMNO ini mesti menjadi induk ayam, untuk kita mentadbir.

“Induk ini akan menyayangi anak-anaknya, bukan hanya orang Melayu sahaja kita jaga tapi menjaga kepentingan semua kaum,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.