JR 2.0 Bersiap Siaga Mantapkan UMNO Menuju PRU15 – Sabrina

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pencadang Jurucakap Usul Wanita UMNO, Sabrina Ahmad Khan berharap Jalinan Rakyat 2.0 (JR 2.0) dapat dipertingkatkan untuk menjadikannya sebagai platform utama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Jelas beliau, kerja bersepadu yang menggabungkan tenaga muda dan yang berpengalaman ini perlu diperkasakan termasuk menjalinkan jaringan dengan masyarakat di setiap kawasan Parlimen dnn Dewan Undangan Negeri.

“Terutama sekali terhadap kumpulan sasar, antaranya surirumah, mahasiswa, penjaja dan usahawan wanita serta badan bukan kerajaan,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian Tanjung berkata, sebagai tulang belakang parti, Wanita mesti terus berada di barisan hadapan sebagai pasukan untuk memantapkan jentera parti.

“Ini termasuk memikul amanah perjuangan, menguasai maklumat terutama celik komunikasi digital dan media sosial baharu boleh dijadikan pemangkin bagi JR 2.0 mendekati lebih cakna kepada pengundi setempat.

“Gerak kerja ini menjadikan Wanita UMNO sebagai pejuang rakyat yang berada di waktu susah senang, kepayahan dan mendengar nadi denyut rakyat.

“Wanita UMNO hendaklah dilihat sebagai pejuang yang terarah kepada kebajikan rakyat, prihatin dengan soal ekonomi keluarga serta pejuang kepada suara rakyat bagi memenuhi aspirasi kemenangan majoriti dalam PRU-15,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.