Imran Lontar Lima Cadangan Untuk Parti Perhalusi Berdepan PRU Akan Datang

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pemuda Suangai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin melontarkan lima cadangan untuk diperhalusi oleh parti selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) diuji dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurut beliau hikmah daripada kekalahan berkenaan masing-masing telah bermuhasabah, meluruskan saf dan mengatur langkah serta strategi untuk bangkit semula dengan idealisme dan ideologi perjuangan parti.

“Kita perlu menguasai persepsi anak muda dengan mendekati mereka secara menyeluruh dan menguasai minat orang muda. Perbanyakkan aktiviti yang mendekati anak muda Pemuda sebagai jurubicara rakyat diteruskan. Kita bukanlah parti yang baru dilahirkan malah bukannya tertubuh bertunjangkan dendam dan juga kesumat gilakan kuasa.

“Saya menyeru dan merayu supaya berikan ruang sepenuhnya membuka pintu Pemuda-Pemuda di bahagian kepada adik-adik kita untuk bersama dan kemudiannya memberikan contoh bimbingan proses kepimpinan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai penyokong usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung pergerakan itu, di sini, hari ini.

Seterusnya beliau menegaskan perlu adanya calon yang segar dan diterima rakyat selain kekal setia serta berprinsip.

“Selain itu ianya diyakini mempunyai kesetiaan kepada parti yang berprinsip dan jangan pula mereka diangkat oleh parti dan diberikan peluang akhirnya mereka hanyut dan menjadi asbab untuk dijual belia dan sebagianya. Dalam kita menyediakan calon-calon daripada Pemuda kita kena pastikan mereka ini adalah orang yang setia dan berprinsip.

“Ketiganya yakin diri dan pertahan ideologi. Kita mesti yakin bahawa UMNO ini sebuah parti perjuangan. Dengan kekuatan kita, keahlian dan sokongan serta dokongan insya-Allah jika bersatu tidak ada perpecahan maka kita boleh berjuang bersama-sama dan mendepani pilihan raya umum dengan cemerlang. Jangan kita dibuai dengan irama muzik yang ditari oleh pihak lawan,” ujarnya.

Ujarnya lagi parti juga mesti sedia bekerjasama tanpa mencairkan prinsip untuk mendepani dinamik politik yang ada pada hari ini.

“Kita mesti terbuka, kita mesti mengenali mana kawan, mana peluang dan di mana ruang untuk kita kembali menerajui kuasa kepimpinan dan pentadbiran negara. Kita mesti bersedia dalam dinamika politik dalam keadaan realiti negara yang mana masyarakatnya berbilang bangsa. Kita mesti rangkum semua ini agar kita dapat sokongan padu. Kita tidka boleh konservatif dalam mana-mana pandangan sebaliknya mestilah terbuka dalam menerima dinamik politik hari ini.

“Akhir sekali dalam mendepani pilihan raya, kita mesti memperkasa dan pada masa yang sama menjauhi sengketa. Kita kena pastikan kestabilan politik dan formula BN ke arah politik yang lebih progresif dan stabil dan akhir sekali kita sama-sama mendepani pilihan raya dengan kesatuan dan solidariti yang kukuh untuk memastikan kejayaan bersama,” ujarnya.- UMNO online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.