Dekatilah Wanita Muda, Yakinkan UMNO Wadah Terbaik… Bukti Telah Ada – Rohaida

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pergerakan Puteri UMNO memainkan peranan penting untuk memberi penjelasan kepada generasi wanita muda bahawa perjuangan parti ini adalah yang terbaik.

Jurucakap Usul dari Perak, Rohaida Mohammad Yaakub berkata, Puteri UMNO perlu meyakinkan golongan muda bahawa wadah yang terbaik untuk menjaga dan memastikan kebajikan wanita muda terbela adalah UMNO yang telah jelas mempunyai agenda pembangunan dan transformasi untuk golongan terbabit.

“Puteri UMNO perlu membantu generasi wanita muda hari ini untuk menghadapi segala cabaran masa akan datang dengan memberi segala bantuan kepada mereka, sama ada ilmu, kerohanian, kemahiran insaniah, kepimpinan dan segala-galanya sebagai persiapan.

“Pendekatan untuk golongan muda ini bukanlah perkara yang mudah. Kita perlu sedar bahawa wujudnya persaingan dari parti lain untuk mendekati golongan muda ini.
Soalnya adakah rakan-rakan semua berasa tergugat dengan wujudnya parti-parti untuk golongan muda dari parti-parti lain.

“Saya mewakili Puteri UMNO Perak dengan lidah yang fasih ingin menyatakan bahawa kami tidak sesekali tergugat dengan persaingan-persaingan dari parti lain untuk mendekati orang muda,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di PWTC, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Lenggong menjelaskan, ini kerana UMNO sudah lama wujud.

“Sudah hampir dua dekad, sudah berkali-kali Pilihan Raya Umum (PRU) dilalui. Jentera-jentera parti berada di semua Parlimen, ahli-ahli Puteri berada di semua bahagian seluruh negara, dan banyak bukti yang jelas tentang jasa dan perjuangan UMNO selama ini,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa Puteri UMNO terus proaktif dalam melaksanakan gerak kerja. – UMNO Online  

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.