Islam Asas Terpenting, Dijaga… Sumber Kekuatan UMNO – Othman Desa

KUALA LUMPUR, 26 Mac – UMNO satu-satunya parti yang meletakkan agama Islam di tahap tertinggi untuk memastikan ianya tidak diganggu gugat, kata Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa.

Ujarnya, melihat kepada perjuangan itu Perhimpunan Agung UMNO menjadi saksi kepada perbahasan usul agama yang seringkali diketengahkan oleh para perwakilan.

“Meletakkan asas Islam itu dalam Perlembagaan UMNO ini satu perjuangan kita. Kita jadikan itu yang terpenting dari dalam kalangan yang penting, kita letak agama Islam ini nombor satu.

“Sebab kita tidak mahu ia diganggu gugat Islam adalah agama persekutuan bagi negara ini, lihat dalam setiap kali perhimpunan agung usul agama tidak diketepikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program ‘Solidariti 75 Tahun UMNO: Muhasabah Perjuangan Parti’ di Facebook UMNO Online yang berlangsung Jumaat petang.

Tambah Othman, UMNO di antara parti yang sejak awal lagi menyedari kepentingan menjaga Islam sebagai induk kepada terbinanya negara ini.

“Perlu dijaga perlu diakui perlu diterima oleh semua orang Melayu serta orang bukan Melayu. Kerana kita semua sudah tahu dari segi sejarah Islam wujud daripada zaman kesultanan Melaka lagi di abad yang ke-15.

“Kalau kita tidak mula siapa hendak mula lagi? Dan kita tak tahu adakah parti-parti lain adakah bersemangat seperti kita.

“Saya yakin kita mampu mempertahankan dan bertanggungjawab supaya anak cucu kita nanti akan meneruskan perjuangan ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit