Golongan Muda Pelapis Parti, Mereka Perlu Diberi Ruang Dan Peluang – Fadli Juanas

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Fadli Juanas mengharapkan agar golongan muda dan juga profesional diberi peluang dapat menyertai parti keramat ini.

Ulasnya, golongan ini cukup bererti bagi UMNO sebagai pemimpin pelapis yang bakal menerajui negara dan parti.

“Kita perlu melihat perkara ini pada masa hadapan dan bukannya seperti dahulu. Kita jangan tidak memberikan peluang kepada orang-orang muda dan profesional untuk sama-sama di dalam parti. Janganlah kita takut disaingi.

“Itu bukan masalahnya menidakkan golongan muda dan profesional masuk ke dalam parti. Saya syorkan juga kepada rakan-rakan di bahagian-bahagian lain agar dapat mengambil inisiatif dan transform parti serta memasuki golongan muda dan profesional di dalam bahagian.

“Lebih-lebih lagi golongan anak muda dan profesional tidak berminat dan tidak diberikan ruang. Ini kemungkinan pemimpin terdahulu menyekat kemasukan mereka dan takut di saingi. Ia adalah salah satu langkah yang menarik untuk membawa golongan muda dan professional ke bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung yang disiarkan oleh UMNO Online, malam tadi.

Turut sama Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani dan moderator Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Dalam pada itu Fadli menjelaskan Parlimen Kota Belud adalah kerusi tradisi parti maka wajib dipertahankan pada pilihan raya akan datang.

“Parlimen Kota Belud adalah kerusi tradisi kita dan tidak pernah kalah. Lahirnya UMNO di Sabah dan kerusi pertamanya adalah di Kota Belud dan kita patut mempertahankan.

“Insya-Allah…saya yakin dan percaya selaku pemimpin akar umbi kita boleh mengambil kembali kerusi Parlimen Kota Belud.”

Seterusnya kata Fadli, walaupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini diadakan secara maya namun ia tidak menjatuhkan semangat akar umbi tetapi ia semakin kukuh.

“Harapan saya pada PAU kali ini walaupun diadakan secara maya, insya-Allah kalau boleh soladiriti UMNO diteruskan. Soladiriti UMNO amat mustahak dan kita harus menjaga parti. Paling penting pemimpin dan ahli-ahli perlu menjaga parti walaupun dalam keadaan susah mahupun senang.

“Alhamdulillah…walaupun pemimpin di atas tidak dapat bertahan namun akar umbi UMNO dapat bertahan. Kita harus mendengar suara akar umbi dan apa jua sekalipun. Saya mohon dengarlah suara akar umbi… jangan kita terkena kedua kali.

“Saya doakan perhimpunan agung ini dapat berjalan dengan lancar dan dipermudahkan urusan kita,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.