UMNO Perlu Kukuh, Teruskan Perjuangan Martabat Agama, Bangsa Dan Negara

KUALA LUMPUR, 23 Mac – UMNO perlu kukuh dan menjadi tunjang utama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Johari Yazid.

Ujarnya, perjuangan UMNO selama ini telah memanfaatkan semua lapisan rakyat dan akan terus memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Apa yang disuarakan oleh ahli-ahli UMNO dapat membuka minda kepada pimpinan UMNO supaya berlapang dada, berbesar hati dan memikirkan kelangsungan rakyat serta membawa bangsa Melayu terus tersohor ke martabat yang sepatutnya.

“Saya berharap perjuangan UMNO ini akan terus memartabatkan agama, bangsa dan negara. Inilah platform yang penting untuk ahli-ahli UMNO ‘menggapai’ kembali kepercayaan rakyat agar ia menjadi kerajaan yang kukuh seperti mana yang terdahulu,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Johari, perhimpunan agung ini dapat menterjemahkan perkara yang sebenar-benarnya serta memberikan pandangan dan pendapat agar dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap parti ini.

 

Bagi Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO ini adanya satu ketetapan yang dibuat oleh parti menjelang PRU-15.

“Saya harapkan perhimpunan agung ini jadi satu titik tolak dan UMNO akan bangkit semula menjadi parti dominan seperti tahun-tahun sebelum ini. Ia sebagai satu tempat medan untuk memperkasakan parti untuk menuju PRU-15.

“Saya rasa apa yang telah diperkatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menetapkan UMNO tidak akan ada ‘colaboration’ (kolaborasi) dengan PN (Perikatan Nasional) dan ia akan tetap bersama dengan BN (Barisan Nasional),” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan