UMNO Kedah, Perlis Bersedia Raikan PAU Norma Baharu

ALOR SETAR, 23 Mac – UMNO Kedah bersedia untuk menghadapi Perhimpunan Agung UMNO 2020 norma baharu yang bakal menampilkan perbahasan secara bersemuka dan maya sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ariffin Man, beliau berkata segala persiapan dijalankan dengan penuh teliti untuk memastikan penganjuran perhimpunan agung yang pertama kali diadakan di bahagian berjalan lancar.

“Alhamdulillah kami di Kedah sebanyak 15 bahagian telah pun bersedia untuk memastikan perjalanan perhimpunan agung dijalankan dengan baik, persediaan juga telah dilakukan dengan cukup rapi.

“Dari segi kehendak ibu pejabat dalam persediaan peralatan berkaitan dengan telekomunikasi juga telah dilaksanakan.

“Sama-sama kita harapkan agar sepanjang perhimpunan ini segalanya berjalan dengan baik dan mencapai hasrat parti kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Persediaan sama turut dilakukan oleh UMNO Perlis dalam memastikan menganjurkan perhimpunan agung ini dilaksanakan mengikut SOP seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara, kata Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Perlis, Che Zaidi.

“Kali ini ada kelainan daripada selalunya kerana mesyuarat akan diadakan secara maya dan sudah tentu akan ada satu cabaran baharu,” katanya.

Menurut beliau lagi, berbeza di negeri lain Perlis menyaksikan kesemua perwakilan di tiga bahagian akan diselaraskan dalam pertemuan yang sama.

“Jadi mungkin di peringkat negeri lain mereka mengadakan perhimpunan mengikut bahagian masing-masing, tapi di sini tidak.

“Kita tidak ada masalah kerana kita adakan secara berpusat itu melibatkan tiga bahagian dalam satu majlis,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.