PAU 2020 Bakal Catat Sejarah, Pertama Kali Kombinasi Bersemuka Dan Maya – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang akan diadakan pada 27 Mac dan 28 Mac ini bakal mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian..

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO akan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan telah meluluskan PAU 2020 melalui surat bertarikh 19 Mac 2021. Perbincangan dengan Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi juga telah diadakan.

“PAU 2020 adalah perhimpunan yang penting sempena Sambutan Jubli Intan, 75 Tahun UMNO bagi meningkatkan semangat perjuangan. UMNO akan terus prihatin rakyat, membela dan membantu rakyat, menjadi juara rakyat dan sentiasa menyuarakan suara rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, pada 27 Mac 2021, Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri akan dirasmikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC sementara upacara menaikkan bendera akan diadakan di Plaza Merdeka dan disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pada 28 Mac 2021 dengan dihadiri oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO.

“Upacara perasmian Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 28 Mac 2021, Ahad jam 8.30 pagi di Dewan Merdeka, PWTC, yang mana acara kemuncaknya adalah Ucapan Dasar oleh YB Presiden UMNO.

“Setelah selesai Perasmian Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri oleh YB Timbalan Presiden UMNO; Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO akan menyampaikan ucapan Dasar mereka di dewan yang ditetapkan.

“Ucapan Dasar YB Presiden, Ucapan Perasmian YB Timbalan Presiden UMNO, Ucapan Dasar Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri, akan disiarkan melalui media sosial seperti FB Live/FB Watch/UMNO Online. Ucapan perbahasan oleh wakil UMNO dari negeri-negeri akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex.”

Katanya, perbahasan adalah berkaitan ucapan Dasar Ketua-ketua Sayap dan Ucapan Dasar Presiden yang akan menyentuh antara lain isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa dan juga isu-isu semasa yang lain seperti COVID-19 dan vaksin.

Berikutan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, beliau menjelaskan bahawa SOP berkuatkuasa pada 18 Mac 2021 dan SOP Meetings, Incentives, Conferences & Exihibitions (MICE) yang berkuatkuasa pada tarikh tersebut akan dipatuhi.

“Bagi tujuan pematuhan SOP, UMNO akan menambah anggota keselamatan seperti RELA dan Skuad Sabil sementara pemerhati orang awam dan ahli UMNO yang bukan perwakilan tidak dibenar menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC kali ini.

“Tidak akan ada gerai jualan dan food trucks dibenarkan beroperasi. Sebanyak 42 agensi media cetak dan elektronik telah memohon untuk membuat liputan pada perhimpunan kali ini setakat 23 Mac 2021.

“Berikutan SOP yang ditetapkan, tiada petugas media dibenarkan untuk berada di dalam dewan persidangan. Media boleh membuat liputan di Laman Media secara maya di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC,” katanya lagi. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/03/KENYATAAN-MEDIA-SUA-_-23-MAC-2021.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.