Bersidang Dengan SOP Baharu Bukan Penghalang, Kemenangan PRU15 Jadi Matlamat – Exco Wanita

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Yasin percaya dan yakin Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 27 dan 28 Mac ini adalah platform terbaik untuk parti mengorak langkah menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Perlis, saban tahun UMNO akan mengadakan perhimpunan agung dan buat pertama kali dalam sejarah, Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan dijalankan secara bersemuka dan maya di seluruh negara setelah negara dan dunia dilanda wabak pandemik COVID-19.

“Kita mesti mengikuti apa yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Persidangan ini dikurangkan perwakilannya dan hanya Exco-exco dan Ketua-ketua Wanita Negeri sahaja. Walau bagaimanapun bagi UMNO negeri Perlis kami akan laksanakan perhimpunan mengikut norma yang ditetapkan.

“Kami akan himpunkan kesemua G2 (dua orang perwakilan) dan G7 (tujuh orang perwakilan) untuk mendapatkan semangat Perhimpunan Agung UMNO tapi di tempat masing-masing dengan jemputan yang telah disarankan dan mesti ada SOP yang telah ada. Itulah yang akan disambut bagi negeri Perlis.

“Kami menunggu apa yang telah diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kita tunggu apa yang nak kita hendak buat untuk memberikan kemenangan UMNO, insya-Allah…kita menunggu dengan penuh cabaran.

“Harapan kami pada PRU-15 ini kami mahukan kemenangan. Kami nak kemenangan dan cukup 22 bulan telah ‘membuka mata’ dan kami akan berkerja kuat untuk memastikan PRU-15 akan datang UMNO perlu menang…insya-Allah. Itulah hakikat Wanita UMNO dan kita akan bergerak bersama-sama di setiap kawasan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Sementara itu bagi Exco Wanita UMNO, Datuk Noor Aieni Mohd Ali walaupun Perhimpunan Agung UMNO ini dilakukan dalam penularan wabak COVID-19, namun semangat akar umbi UMNO tidak pernah luntur.

“Perhimpunan Agung UMNO ini secara tidak langsung dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara akar umbi UMNO dan pimpinan bahagian masing-masing dan di samping memperjuangkan agama, bangsa dan negara walaupun dalam negara ini dalam darurat COVID- 19.

“Dengan semangat, kekuatan dan pendekatan akar umbi UMNO, insya Allah kita dapat menjayakan perhimpunan ini. Inilah masanya untuk kita sama-sama merapatkan saf dan meletakkan asas permuafakatan untuk parti mengorak langkah ke depan mendepani gelora dan cabaran mendatang. Insya Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.