PAU 2020: Ketetapan Demi Masa Hadapan, Bakal Perkukuh UMNO – Mohd Zaidi


KUALA LUMPUR, 22 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bakal berlangsung hujung minggu ini bukan hanya dinantikan oleh ahli parti namun turut menarik minat pihak lain termasuklah parti-parti politik tempatan juga, ujar Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Kata beliau, ini kerana perhimpunan kali ini akan menyaksikan hala tuju perjuangan UMNO terutama bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan corak masa hadapan parti.

“Ramai yang ternanti-nanti bukan setakat ahli UMNO sahaja. Saya yakin parti-parti lain juga menantikan persidangan ini,” ujarnya.

Katanya, perhimpunan agung kali ini dilihat bakal memberi kesan kepada suasana politik negara kerana sebarang ketetapan yang diputuskan UMNO akan turut sama memberi kesan kepada kepentingan parti politik yang lain.

“Hasil keputusan itu akan mengukuhkan lagi persepakatan terutamanya Muafakat Nasional yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.

“Sama ada yang berada dalam gabungan PN iaitu Pas, Bersatu bahkan juga Pakatan Harapan… mereka juga menanti hasil daripada perhimpunan yang akan berlangsung nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Mohd Zaidi, beliau juga turut meluahkan keyakinan bahawa perhimpunan kali ini akan menghasilkan satu keputusan yang lebih utuh untuk kepentingan perjuangan parti.

”Saya yakin kebanyakan daripada kita orang Melayu mengharapkan perhimpunan kali ini akan menghasilkan satu keputusan yang lebih kukuh untuk membawa perpaduan orang Islam terutamanya Melayu dalam negara kita ini.

“Dengan meletakkan kepentingan parti dan negara itu di atas lebih daripada kepentingan individu,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata walaupun perhimpunan kali ini tidak diadakan sepenuhnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) namun ianya bukan alasan untuk tidak dapat membangkit semangat perjuangan dalam kalangan ahli UMNO.

“Jadi bagaimana kita hendak menghidupkan semangat yang ada di PWTC itu ke bahagian masing-masing ini satu perkara yang saya rasa agak sukar.

“Roh perjuangan yang kita rasai di PWTC itu boleh sampai ke bahagian masing-masing.

“Semangat perjuangan itu tidak harus kurang kerana kita harus bersedia untuk berhadapan dengan PRU15 tidak berapa lama lagi,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.