PAU 2020: Perwakilan Perlu Dapatkan Kebenaran Rentas Negeri – Ismail Sabri

IPOH, 21 Mac- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan agar ketua-ketua UMNO bahagian dapat mengikuti SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam urusan kehadiran ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan dilaksanakan pada 27 dan 28 Mac ini.

Katanya, setiap ketua bahagian haruslah memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri.

“Seperti saya umumkan, SOP rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali kebenaran PDRM. Jadi nanti perwakilan PAU akan rentas negeri ke Kuala Lumpur. Kuasa memberi kebenaran adalah kuasa polis.

“Saya harap ketua-ketua bahagian akan pergi ke balai polis setiap kawasan atau negeri masing-masing sebelum bergerak, yang ada kebenaran dan surat sahaja boleh bergerak ke Kuala Lumpur kerana ada sekatan jalan raya yang memerlukan kebenaran. Yang tiada surat akan diminta patah balik. Seramai enam orang satu bahagian… tidak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutupan Program Bangkit 15 Negeri Perak yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perak, Datuk Azian Osman, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia menjelaskan bahawa jumlah perwakilan yang hadir adalah dibenarkan mengikut separuh keluasan dewan yang digunakan memandangkan lokasi persidangan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dari segi SOP dewan memang boleh kerana kawasan PKPB. 50 peratus daripada keluasan dewan. Jadi kehadiran tidak sampai 1,000 kerana dewan boleh muat lebih kurang 2,800. Dari segi SOP dewan memang dibenarkan,” ujarnya.

Turut hadir dalam program Bangkit 15 ialah Setiausaha BPUN, Datuk Aminuddin Hanafiah, Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan ketua-ketua UMNO seluruh bahagian negeri Perak.  – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.