PAU 2020: Kesetiaan Ahli Parti Kunci Kemenangan PRU15

ALOR SETAR, 21 Mac – Ketua Wanita UMNO Negeri Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim berpendapat Perhimpunan Agung 2020 kali ini sebagai simbolik kepada kesetiaan ahli parti kepada UMNO.

Katanya, ini kerana kesetiaan itu elemen yang paling penting untuk memastikan UMNO kekal relevan apatah lagi menjelang ketibaan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang bakal dilaksanakan pada bila-bila masa.

“Kita telah pun meletakkan harapan setinggi gunung orang kata kepada keseluruhan akar umbi agar sentiasa memberi sokongan kepada UMNO agar terus kekal utuh di masa akan datang.

“Kita bakal menghadapi PRU15 dan kita telah pun bersedia bersama dengan jentera, bersama dengan ahli di akar umbi yang tidak pernah berubah memberi sokongan,” katanya ketika ditemui UMNO-Online baru-baru ini.

Beliau turut mengharapkan agar UMNO kembali berkuasa seperti dahulu dalam membela nasib rakyat.

Sementara itu, bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli, beliau menjangkakan perhimpunan agung kali ini memberikan signifikan yang baharu untuk masa depan parti.

“Sekarang ini kita sedia maklum bahawa ramai suara-suara di akar umbi yang mahu tahu hala tuju sebenar parti.

“Dan juga keputusan besar hubungan kita dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Manakala, bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Maizatul Miza Mohd Disa turut mengharapkan usul-usul yang dibawa kelak bakal mencerminkan pembaharuan kepada parti.

Katanya lagi ini kerana UMNO bukan lagi sebuah parti yang menjadi tunjang utama kerajaan seperti dahulu kala.

“Mengharapkan pilihan raya yang akan datang kembali… memberi kekuatan kepada UMNO. Jadi ini adalah medan kita dan kita harap pilihan raya pada kali ini peluang dan kemenangan besar UMNO.

“Usul-usul yang dibawa semasa perhimpunan itu mesti lebih relevan,” ujarnya.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri Malaysia berharap strategi baharu perlu dilakukan bagi memastikan UMNO bangkit dan tragedi pada PRU14 lalu tidak lagi berulang lagi.

“Di mana dalam masa kita mengalami kekalahan ini kita tidak boleh macam dulu lagi. Kita perlu ada nafas baharu dan perbezaan untuk masa depan orang Melayu dan ahli UMNO itu sendiri,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.