Raptai Perhimpunan Agung UMNO 2020 Dalam Norma Baharu, Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Raptai penuh perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan.

Jika sambutan sebelum ini, dimeriahkan dengan pemeriksaan perbarisan dan iringan kompang menyambut kedatangan Presiden, tetapi pada kali ini hal seumpamanya tidak diadakan sebaliknya diteruskan dengan acara menaikkan bendera melibatkan jumlah minimum hadirin.

Raptai bermula seawal 7.30 pagi di bawah pemantauan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap-sayap UMNO disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Selain raptai di luar dewan, raptai juga akan diadakan bagi majlis di dalam dewan yang membabitkan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO dan perasmian perhimpunan agung di Dewan Merdeka, yang juga akan menghadkan kehadiran perwakilan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian juga mengambil kesempatan melihat persiapan telekonferensi online Webex di dalam persiapan menjelang PAU 2020 di Menara Dato’ Onn di sini sebaik selesai raptai di luar dan dalam dewan.

Raptai ini adalah antara persediaan terakhir sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.