Patuhi SOP Jayakan Perhimpunan Agung UMNO 2020 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berharap mereka yang berada pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 dapat mematuhi segala peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melicinkan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 27 dan 28 Mac ini.

Menurut beliau dalam sejarah 75 tahun penubuhan parti itu hingga ke hari ini, tidak ada rujukan yang sebelumnya tentang perjalanan persidangan tersebut namun insya-Allah Perhimpunan Agung UMNO 2020 tidak akan hilang serinya dan tidak akan hilang semangat daripada seluruh ahli parti.

“Dalam  sejarah 75 tahun UMNO ini adalah kali pertama  kita mengadakan perhimpunan agung kombinasi bersemuka dan secara maya. Ia adalah satu perkara yang mengujakan dan ianya adalah satu perkara yang tidak ada rujukan sebelum ini maka kita harap ianya akan berjalan dengan lancar.

“Harapan kita ialah supaya kemeriahannya sedikit sebanyak seperti dahulu  dan sebahagiannya berada di Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussin, Dewan Tun Dr Ismail dan sebahagian lagi berada di 190 bahagian seluruh negara di mana perwakilan-perwakilan  sebahagiannya berada di sana dan ini adalah satu perkara baharu yang kita lakukan.

“Tentunya apa yang kita buat ini mengikut segala apa yang ditetapkan oleh SOP Majlis Keselamatan Negara dan saya sendiri bertemu dengan Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan untuk memastikan segalanya mengikut SOP antaranya menggunakan pelitup muka, penjarakan (fizikal), tentunya aplikasi My Sejahtera dan pengimbas suhu serta lain-lain yang akan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama kakitangan Ibu Pejabat UMNO mengadakan raptai acara yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.

Turut bersama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan serta Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Datuk Badruldin Amiruldin.

Menyentuh soal raptai, Ahmad Maslan menjelaskan segalanya mengikut apa yang ditetapkan, berjalan dengan baik dan segala susun atur serta perjalanan pada 27 serta 28 nanti dilaksanakan sebaiknya.

“Kita membuat raptai dua tiga kali termasuklah di dalam Dewan Merdeka dan insya-Allah segalanya akan berjalan dengan baik. Perbarisan pada tahun ini tidak ada tetapi acara menaikkan bendera dengan iringan nyanyian lagu Wanita, Pemuda Puteri serta lagu UMNO ada. Selepas itu kita adakan sesi bergambar dan kemudiannya apa yang akan berlaku di dalam dewan dilaksanakan.

“Perkara utama kita tidak tinggalkan dan ucapan dasar presiden, ucapan dasar ketua-ketua sayap semuanya akan dibahaskan dan kita adalah parti yang cukup demokratik dan mendengar pandangan daripada ahli dan akar umbi.

“Kita boleh mengikuti perkembangan perhimpunan berkenaan melalui www.umno-online.my dan di situ juga terdapat Facebook Live misalnya selain beberapa perkara lain. Insya-Allah kita doakan kelancarannya kelak,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.