COVID-19, Darurat Tak Luntur Semangat PAU 2020 Biarpun Secara Maya – Jamil Khir


ALOR SETAR, 19 Mac – Perhimpunan Agung UMNO yang bakal dilaksanakan pada 27 dan 28 Mac ini akan menyaksikan penganjurannya berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana diadakan ketika negara berhadapan dengan penularan COVID-19 dan darurat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun sedikit kelainan namun ianya tidak mematahkan semangat dan tanggungjawab UMNO bagi merealisasikan perhimpunan agung ini.

“Kita bukan hanya menghadapi COVID-19 yang dikenakan kepada semua negeri-negeri yang ada di Malaysia sejak daripada Mac yang lalu, tetapi ianya termasuk juga dengan darurat yang diisytiharkan. Ini menunjukkan ada dua keadaan yang amat penting yang perlu kita berikan perhatian.

“Justeru, setiap prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian dengan keadaan amat perlu diambil kira dalam menjayakan perhimpunan pada kali ini,” katanya ketika ditemui UMNO-Online baru-baru ini.

Jamil yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai malah berkata, pendekatan penganjuran perhimpunan agung maya ini patut diberikan perhatian kerana ianya merupakan signifikan baharu kepada penganjuran pada akan datang.

“Memberikan satu suasana pilihan nanti, kalaulah sekali lagi kita berhadapan dengan situasi sama.

“Maka kita sudah mempunyai pengalaman yang begitu bermakna dan amat memberikan kebaikan kepada kita.

“Kenapa tidak UMNO pada kali ini masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi melaksanakan perhimpunan tetapi ianya tidak terkeluar daripada norma-norma baharu berdasarkan SOP yang ditetapkan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.