Ahli UMNO, Pimpinan Bahagian Tulang Belakang Kekuatan Parti – Tajuddin Rahman


IPOH, 19 Mac – Ahli-ahli UMNO terutama pimpinan di peringkat bahagian disifatkan sebagai barisan hadapan parti terutama sebagai persiapan untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ujarnya, para pimpinan yang hadir mengikuti Perhimpunan Agung UMNO, terutama di UMNO bahagian seluruh negara wajar mengambil kira perbahasan kali ini sebagai medan untuk memperkukuhkan parti.

“Ahli-ahli UMNO khususnya bagi mereka yang mengikuti perhimpunan agung ini di peringkat bahagian masing-masing secara maya ini amat penting.

“Mereka perlu lebih bermaklumat untuk membuat persiapan kesiap-siagaan pilihan raya untuk berhadapan dengan pengundi-pengundi di luar sana.

“Saya hendak mereka menjadi jentera parti berjuang untuk PRU15,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui baru-baru ini.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, mereka ini mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam mendekati rakyat.

“Perjuangan mereka itu sebagai barisan hadapan sangat penting, hidup mati menang kalahnya UMNO dalam pilihan raya yang akan datang bergantung kepada barisan hadapan ini.

“Yang terdiri daripada perwakilan dan juga ahli jawatankuasa empat peringkat di UMNO Bahagian-bahagian.

“Jadi itu yang saya ingin melihat semangat daya juang yang tinggi dalam kalangan mereka,” ujar Ahli Parlimen Pasir Salak itu lagi.

Pada 27 dan 28 Mac ini UMNO akan mengadakan perhimpunan tahunan bagi tahun 2020 secara bersemuka dan maya dengan suasana baharu bagi mengekang penularan COVID-19.

Antara agenda penting yang akan dibawa adalah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa menghadapi PRU15 dan mempertahan kerjasama Muafakat Nasional. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.