PAU Di Bahagian Dijangka Lebih Meriah, Eratkan Perpaduan Akar Umbi – Azlan Man


ALOR SETAR, 18 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man percaya semangat ahli parti untuk bersama di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini kekal utuh seperti sebelumnya.

Katanya, ini kerana pada kali ini penganjurannya akan diadakan di kesemua UMNO Bahagian-bahagian di seluruh negara yang pastinya akan menyemarakkan perpaduan dalam kalangan ahli dan kecintaan kepada parti.

“Pada kali ini kita akan menghadapi perhimpunan agung dalam suasana yang agak berbeza sedikit disebabkan COVID-19.

“Saya yakin dan percaya bahawa semangat untuk menghadiri perhimpunan ini tidak berubah.

“Walaupun kehadiran di peringkat pusat hanyalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi tetapi pada pandangan saya kehadiran di bahagian-bahagian sebenarnya jumlahnya masih jauh lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Bangkit 15 Negeri Perlis dan Kedah yang berlangsung baru-baru ini.

Menteri Besar Perlis itu turut menambah bahawa UMNO sudah menjangkau ke-75 tahun yang semestinya turut sama mematangkan ahli-ahli parti.

“Kita harapkan kali ini UMNO menjadi lebih matang dengan pengalaman yang kita kumpulkan selama ini.

“InsyaAllah UMNO akan bangun dan bangkit dengan lebih kuat lagi,” ujarnya.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah diadakan secara bersemuka dan maya di seluruh negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan segala prosedur operasi standard  Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan akan dipatuhi mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.