PAU 2020 Landasan Kembalikan Kekuatan Parti – Saarani Mohamad


IPOH, 18 Mac – Perhimpunan Agung UMNO kali ini diharapkan dapat mengembalikan kekuatan parti ke landasan sebenar, kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Menurutnya, ini kerana perhimpunan agung mempunyai signifakannya yang tersendiri dalam memberikan semangat kepada semua terutama ahli parti yang menjadi tulang belakang parti keramat ini.

“Harapan kita Perhimpunan Agung UMNO 2020 ini menghimpunkan kembali semangat ahli-ahli UMNO.

“Perhimpunan ini adalah kaedah yang dapat mengembalikan kekuatan UMNO seperti mana yang asalnya.

“Membangkitkan kehebatan keseluruhan tiga juta ahli UMNO untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal diadakan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri turut melahirkan keyakinan kematangan ahli UMNO dalam memberikan tumpuan berkenaan usul-usul yang dibahaskan.

“Jadi saya harap ahli-ahli UMNO atau perwakilan yang tidak berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tapi berada di tempat masing-masing akan dapat memberikan perhatian seperti mana mereka biasa hadir secara fizikal di PWTC.

“Kerana apa juga yang dibicarakan yang dibahaskan dalam perhimpunan ini merupakan keputusan bersama yang patut kita persetujui bersama dan akhirnya kita menerimanya bersama,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.