Perhimpunan Agung UMNO 2020 Penyelesaian Soal Yang Membelenggu Parti – Shahril

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Perhimpunan Agung UMNO  bagi tahun 2020 yang akan diadakan pada penghujung Mac ini merupakan satu permulaan penyelesaian kepada soal-soal yang membelenggu parti selama ini untuk dirungkai secara tuntas dan selengkapnya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata dengan titik noktah kepada segala kebelengguan tersebut, langkah seterusnya sudah pasti adalah untuk menuju ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan sebaik mungkin tanpa lagi memikirkan pelbagai persoalan yang timbul.

Menurut beliau walaupun Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini diadakan secara norma baharu, tentunya tidak akan menganggu kualiti perbahasan malah jauh sekali menjejaskan kualiti semangat serta kualiti pemikiran masing-masing untuk terus melihat parti mengorak langkah ke depan.

“Walaupun kita adakan Perhimpunan Agung UMNO kali ini dalam keadaan suasana baharu atau pun ‘new normal’, tetapi semangat yang kita mahu bawa daripada 191 bahagian bukan ‘new normal’ tetapi semangat yang sama tinggi walaupun di tempat kebiasaan kita berhimpun iaitu di PWTC kurang orangnya, namun itu tidak menyebabkan kualiti perbahasan, kualiti semangat dan kualiti pemikiran kita tidak sedikit pun kurang daripada biasa.

“Harapan saya Pehimpunan Agung UMNO kali ini menjadi satu permulaan kepada penyelesaian sebarang… kebelengguan yang parti kita hadapi tanpa kita memperincikan terlalu jelas, saya ingat perwakilan tahu ada persoalan-persoalan asas yang mungkin UMNO jawab dengan lebih jelas, perlu noktahkan dengan lebih hakiki.

“Saya harapkan Perhimpunan Agung UMNO kali ini walaupun bukan noktah tetapi ianya menjadi permulaan kepada satu fasa yang mana kita tidak lagi fikir soal kebelengguan dalaman tetapi kita ‘ready’ dan bersedia untuk serang pihak lawan,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO akan mengadakan perhimpunan tahunan bagi tahun 2020 secara maya pada 27 dan 28 Mac ini dengan suasana baharu.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah UMNO adalah wadah yang sebenarnya untuk bangsa dan tanah air.

“Selamat bersidang kepada semua perwakilan di mana sahaja anda berada. UMNO ini parti perjuangan, maka percayalah bahawa parti ini merupakan wadah yang paling sesuai, yang paling baik dan paling keramat untuk bangsa kita, tanah air kita… kita pastikan semangat itu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO dan sekaligus membawa kepada kemenangan pada PRU akan datang insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.