PAU 2020: Solidariti Ahli Parti Kukuhkan UMNO Menuju PRU- 15 – Mahdzir Khalid


ALOR SETAR, 17 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menekankan bahawa Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi medan utama kepada ahli parti dalam mengutuhkan parti menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana perpaduan dalam kalangan ahli UMNO amat penting sebagai penanda aras untuk parti berhadapan dengan pilihan raya terutama dengan situasi politik negara yang tidak menentu.

“Perhimpunan agung ini boleh menjadi tempat di mana kita semua bangkit dengan penuh semangat… dengan penuh kesungguhan.

“Paling penting sekali adalah kita mempunyai solidariti yang kuat dalam parti UMNO untuk menghadapi pilihan raya dan juga menghadapi suasana politik pada waktu ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, setiap perwakilan yang hadir ke UMNO Bahagian-bahagian perlu menghayati intipati perbahasan untuk kepentingan parti.

“Saya juga berharap bahawa kita dapat mendengar dengan baik kerana jika seperti mana yang disebut oleh ramai orang bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya umum dan kita boleh bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Semua kepimpinan UMNO diperingkat Bahagian-bahagian dan perwakilan dapat mendengar ucapan dasar daripada presiden parti.”

Tambahnya, walaupun persidangan kali ini berbeza berbanding sebelumnya akibat penularan wabak COVID-19 namun ianya bukan penghalang.

“Walaupun secara maya saya harap kita boleh menghayati perbahasan ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.