PAU 2020: Simbolik Pengukuhan Ahli Parti Menuju PRU15 – Nizar Zakaria

IPOH, 16 Mac – Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Nizar Zakaria berharap usul-usul yang dibawakan kelak semasa Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi medan untuk menyegarkan lagi perpaduan antara ahli parti.

Katanya, ini kerana perpaduan yang sedia ada ini perlu diperkukuhkan lagi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Harapan saya apa sahaja solusi yang akan dizahirkan nanti akan menjadi pedoman kepada kita semua.

“Untuk kita terus bergerak seiring menuju ke arah pengukuhan parti kita dan juga dalam kerja usaha untuk berhadapan dengan pilihan raya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit berkata walaupun perhimpunan kali ini tidak diadakan secara sepenuhnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) namun ianya tidak akan mematahkan semangat ahli parti untuk perjuangan UMNO.

“Ini merupakan satu wadah untuk kita berhimpun mengumpul, memperkukuh, memperkasa parti kita.

”Walaupun kita tidak berhadapan secara fizikal secara kebiasaan di PWTC, tempat keramat untuk kita berhimpun sepanjang tahun.

“Akan tetapi daya usaha yang telah pun dilaksanakan, dirancang begitu rapid dan teliti oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan majlis kerja tertinggi untuk kita melaksanakan mengikut peraturan-peraturan,” tegasnya.

Pada Februari, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan bahawa tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2020 ialah pada 27 dan 28 Mac ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, pelaksanaan perhimpunan agung adalah kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan juga secara maya melibatkan keseluruhan 191 Bahagian-bahagian UMNO seluruh negara. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib