Perhimpunan Agung Secara Maya Bukan Penghalang Capai Objektif

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perhimpunan Agung 2020 kali ini yang diadakan secara maya tidak akan menghalang penganjurannya daripada mencapai objektif parti terutama berkenaan usul-usul perbahasan yang akan dibentangkan.

Bagi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Azmir Zainal Abidin, beliau berkata walaupun penganjuran tahun ini berbeza berbanding sebelumnya namun ianya tidak akan mematahkan semangat ahli parti untuk terus menyokong agenda yang bakal dibawa sepanjang perhimpunan agung.

“Semoga persidangan kita pada kali ini akan mencapai objektifnya, dipermudahkan perjalanannya dan yang paling penting mendapat rahmah dan juga diberkati oleh Allah.

“Harapan saya semoga dengan hadirnya perhimpunan pada tahun ini akan menambahkan lagi semangat dan juga kekuatan kepada setiap ahli UMNO baik diperingkat negeri, bahagian dan cawangan,” katanya.

Pandangan sama diberikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Katanya ahli akar umbi pastinya ternanti-nanti suasana norma baharu perhimpunan agung kali ini yang diadakan secara maya buat pertama kali.

“Jadi kami di peringkat akar umbi kali ini sudah pastilah menunggu perhimpunan agung kali ini yang terpaksa juga diadakan dalam musim COVID-19 ini walaupun dalam keadaan virtual.

“Kerana kami di peringkat akar umbi ini merasakan pentingnya perhimpunan kali ini untuk menaikkan semangat baharu kepada pemimpin akar umbi di setiap peringkat sama ada Pemuda, Puteri, Wanita dan juga disetiap pusat daerah mengundi diseluruh negara,” katanya.

Sementara itu bagi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid beliau berharap ahli UMNO yang akan mengambil bahagian dalam perhimpunan agung kali ini untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pematuhan SOP ini penting bagi mengelakkan perkara tidak diiingini berlaku.

“InsyaAllah saya fikir bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, urus setia telah pun menjalankan tugas-tugas dan memastikan segala urusan perhimpunan ini dijalankan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Saya juga mengharapkan walaupun kita menjalankan perhimpunan ini secara maya tapi diharapkan semua ahli-ahli khususnya di peringkat akar umbi memberikan kerjasama dan perhatian yang sepenuhnya,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.