PAU 2020: UMNO Perlu Kekal Juara… Tonggak Orang Melayu – Ismail Sabri


ALOR SETAR , 15 Mac – Perhimpunan Agung UMNO kali ini bakal menyaksikan ketetapan dan kesiapsiagaan jentera yang menjadi antara agenda penting untuk dibahaskan sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, persiapan ke arah PRU-15 ini penting bagi memastikan UMNO kekal dominan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya harap perhimpunan kali ini kita dapat memberikan tumpuan kepada persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya, kerana yang paling penting bagi UMNO adalah untuk kembali berkuasa.

“Maka jadikanlah perhimpunan agung ini sebagai perbincangan kita untuk bagaimana kita hendak memperkukuh dan memperkasa UMNO bagi kita memenangi pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas merasmikan Program Bangkit 15 Negeri Perlis dan Kedah yang berlangsung baru-baru ini.

Ismail yang juga Menteri Kanan Pertahanan juga berharap perhimpunan agung ini dijadikan medium untuk UMNO terus kekal relevan dalam mempertahankan perpaduan rakyat di negara ini.

“Harapan saya UMNO sebagai parti yang akan terus menjuarai perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

“Ahli UMNO juga harus kekal bersatu bagi kita terus memperkasakan UMNO dan UMNO akan terus menjadi tonggak kepada kekuatan bangsa Melayu di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan pada Januari memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 Bahagian-bahagian UMNO yang telah bersidang di seluruh Malaysia.

Katanya, antara usul-usul utama yang dibangkitkan oleh majoriti besar UMNO Bahagian-bahagian ialah mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.