Penganjuran Di Bahagian Eratkan Penyatuan Ahli Akar Umbi


KUALA LUMPUR, 11 Mac – Secara lazimnya Perhimpunan Agung UMNO diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala lumpur disambut dengan penuh kemeriahan, namun kali ini penganjurannya berbeza akibat penularan pandemik COVID-19.

Bagi Exco Pergerakan Puteri UMNO, Fadwah Anuwar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang wabak ini tidak akan menghalang untuk ahli parti menyemarakkan semangat sempena perhimpunan agung kali ini yang dilaksanakan secara maya di bahagian masing-masing.

“Pada pendapat saya itu bukan satu masalah kerana apabila kita buat perhimpunan agung di bahagian masing-masing sebenarnya kita boleh lagi sambut.

“Kita boleh jemput sayap-sayap di bahagian termasuk ahli jawatan kuasa serta ahli parti cawangan. Boleh kita bersama-sama hayati perbahasan.

“Kalau kebiasaannya terikat dengan perwakilan tapi di bahagian kita boleh sediakan satu tempat mengikut SOP dan kita boleh panggil ahli parti untuk sama-sama mendengar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Fadwah yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan, penganjuran perhimpunan agung akan lebih meriah kerana dilakukan di seluruh negara secara serentak.

“Saya rasa benda ini sangat menarik dia jadi unlimited, itu bagi saya akan meriahkan di sekitar UMNO Bahagian itu sendiri.

“Dan saya rasa tanggungjawab di peringkat UMNO bahagian itu perlu untuk memeriahkan suasana,” katanya.


Sementara itu, bagi Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka, Nur Farhana Abdul Ghani, beliau berkata walaupun perhimpunan agung kali ini diadakan dengan norma baharu, pematuhan SOP perlu dijaga dengan sebaiknya.

Katanya, pematuhan SOP ini penting bagi mengelak daripada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Untuk kali ini perhimpunan agung disambut dengan norma baharu jadi saya mengharapkan kita semua para pewakilan akan dapat menjaga SOP sebab ketika ini kita masih belum bebas daripada COVID-19,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib