PAU 2020: Senjata Penyatuan UMNO Menuju PRU15 – Wan Agyl

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO kali ini membawa naratif baharu kepada parti sebagai persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelasnya lagi, persiapan tersebut termasuklah strategi-strategi tertentu untuk memastikan UMNO kekal menjadi satu-satunya sandaran rakyat.

“Sekiranya kita tidak bersatu hati dan tidak menggembeleng tenaga secara bersama-sama untuk memenangi PRU15 saya gusar UMNO akan berada di satu kedudukan yang amat sukar di dalam lanskap politik tanah air.

“Jadi kita tidak ada pilihan lain selain daripada bersatu hati, bekerjasama untuk memastikan UMNO/Barisan Nasional memenangi PRU15,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya lagi, melalui perhimpunan ini juga usul-usul yang bakal dibawa oleh jurucakap diharapkan membawa kebaikan kepada parti untuk menguatkuatkan jentera parti.

“Saya harap usul-usul yang dibentangkan oleh pembawa usul akan dapat memberi manfaat dan kaedah kepada parti terutama membawa kesatuan dalam kalangan ahli parti,” katanya.

Sementara itu, Wan Agyl yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh turut berharap agar pemimpin dan ahli rasional dalam meraikan pandangan antara satu sama lain.

“Jangan kita bergaduh dan tidak bersependapat sebab apa, kita adalah sebuah institusi yang mempunyai struktur yang begitu jelas dan haruslah kita mematuhi keputusan parti yang akhirnya membawa kepada faedah bersama.

“Jadi sebagai sebuah parti yang sudah lama tertubuh di negara ini kita harus menunjukkan satu contoh yang baik kepada rakyat bahawa parti ini mempunyai satu struktur dan diikuti oleh semua ahli parti.

“Sebarang perbezaan pendapat boleh diraikan tapi dalam masa yang sama kita perlu akur dengan segala keputusan yang dibawa oleh pimpinan parti,” – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.