PAU 2020: Persiapan Berjalan Lancar, SOP Diutamakan – S/U Agung

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini berkesempatan meninjau persiapan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.

Beliau meluahkan kesyukuran persediaan perhimpunan agung kali ini berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Kita sedang membuat rehearsal Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan segalanya berjalan lancar.

“Kita harap kemeriahannya dirasai walaupun tidak serupa dulu akibat prosedur operasi standard (SOP) tapi kita akan melaksanakan antara dua, iaitu bersemuka dan juga maya.

“Segala perancangan kelihatan mengikut jadual, insyaAllah akan berjalan lancar mudah-mudahan,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui selepas melakukan tinjauan persiapan.

Turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan untuk melihat persiapan di Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Ismail A dan B serta Bilik Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan persiapan rapi dalam aspek prosedur operasi standard (SOP) amat dititikberatkan bagi menghindari pandemik COVID-19.

“Kita berusaha untuk menjauhkan daripada jangkitan wabak ini, kita berharap tidak ada kluster Pusat Dagangan Dunia Putra, kita berharap tidak ada kluster Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian turut mengambil contoh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung awal tahun lalu berjalan lancar.

“Saya amat berharap ia berlaku seperti 1 hingga 3 Jan lalu, kita mengadakan 760 mesyuarat di begitu banyak lokasi di 191 bahagian.

“Mudah-mudahan dengan izin Allah, kita terhindar daripada COVID-19 ini, pada masa yang sama kita melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan parti UMNO ada perhimpunan agungnya setiap tahun,” tambah beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.