PAU 2020 Bawa Agenda Perjuangan Baharu Demi Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hafeez Che Mat berharap Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) kali ini membawa agenda pembaharuan kepada parti untuk kekal relevan mendepani senario politik baharu.

Katanya, usul-usul yang dibentangkan nanti diharap dapat membawakan nafas baharu bagi menaikkan semangat ahli dan pemimpin dalam mempersiapkan jentera parti sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perbahasan ataupun usul-usul yang dibawa itu mestilah membawa kepada strategi ataupun kaedah yang membolehkan kita bersama-sama memperbaiki jentera kita dengan harapan menang PRU15.

“Kita kena persiapkan dengan apa segala kemungkinan jadi agenda yang akan dibentangkan ini amat penting supaya ada pembaharuan kepada parti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pandangan sama turut dikongsikan Ketua Penerangan UMNO Siswa Malaysia, Iman Norhizam, katanya usul-usul yang dibawa kelak akan membawa kepada agenda mengangkat nilai perjuangan parti.

“Saya menyeru untuk semua, kita bahaskan usul-usul yang mengangkat martabat parti dan bukan sahaja untuk menjaga ahli UMNO serta rakyat tetapi juga perkara-perkara tersebut dapat dijadikan aspirasi untuk seluruh rakyat Malaysia pada akan datang,” ujarnya yang juga merupakan jurucakap usul.

Tambah Iman, dalam usaha memperkuatkan parti isu-isu yang dibahaskan juga berpadanan dengan matlamat perjuangan yang mengutamakan rakyat.

“Perhimpunan agung kali ini akan membawa semangat kepada PRU15. Jadi harapnya kita mengetepikan perkara- perkara yang remeh temeh untuk memberikan keutamaan kepada isu yang lebih penting bagi kita untuk parti keramat demi kemaslahatan agama bangsa dan negara,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.