Perhimpunan Agung UMNO Simbolik Kebangkitan, Dominankan Parti

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah melihat Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bakal berlangsung hujung bulan ini amat penting sebagai lambang kebangkitan parti ini.

Katanya, sebagai salah seorang pemimpin muda dalam parti beliau menjangka akan berlaku gelombang baharu sebagai satu gerakan untuk parti kembali kepada asas perpaduan dan perjuangan parti.

“Ayuhlah kita bangkit atas dasar nama perjuangan. Marilah kita tegakkan kebenaran jejak petualang yang kita hapuskan demi sebuah kelangsungan lembayung arjana bangsa seperti mana yang telah diungkapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung yang lalu.

“Sama-sama kita hayati perjuangan UMNO, sama-sama kita perkukuhkan parti UMNO,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tegasnya, perhimpunan agung ini juga merupakan sebagai satu titik permulaan untuk UMNO mengorak langkah menjadikan parti kembali berpengaruh dalam arena politik negara.

“Kali ini merupakan perhimpunan agung kebangkitan untuk parti ini menjadi dominan dan landskap politik tanah air,” tegasnya.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Subang itu, ahli parti serta para pemimpin yang lain seharusnya menghayati sejarah penubuhan UMNO yang membawa kepada agenda perjuangan nasib orang Melayu.

“Jadi platform kali inilah yang seharusnya kita bawa kerana kita kena lihat kembali sejarah terbinanya UMNO .

“UMNO dilahirkan atas dasar penyatuan orang-orang Melayu dan seluruh umat Melayu dalam negara kita sepanjang 75 tahun.

“Kita bercerita tentang pengukuhan dan penyatuan orang Melayu tetapi kebelakangan ini kita melihat pelbagai keretakan yang berlaku dalam parti kita dan saya lihat satu budaya yang tidak sihat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.